SEREMBAN - Seorang ahli perniagaan direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi urusan jual beli tanah bernilai RM3.8 juta di mukim Lenggeng di sini.
Perintah reman hingga 20 Ogos 2025 itu dikeluarkan oleh Majistret Saiful Sayoti di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas permohonan dikemukakan SPRM.
Iklan
Iklan
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 11 malam Rabu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat dengan seorang lagi suspek utama menggunakan dokumen geran tanah yang mengandungi butiran matan palsu bagi memperoleh wang hasil jualan tanah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.