Polis berkas dua warga asing, rampas dadah bernilai RM2.7 juta

Iklan
Md Yusof (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam pada Khamis.

SABAK BERNAM - Aktiviti pengedaran dadah di sebuah pusat hiburan berlesen di Sungai Besar di sini tumpas selepas polis menahan dua warga asing dan merampas dadah bernilai RM2.7 juta dalam satu operasi khas pada 9 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kegiatan itu dikesan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, hasil risikan mendapati kedua-dua suspek berusia 30-an bekerja di premis itu lebih setahun lalu dan membancuh dadah mengikut permintaan pelanggan bagi tujuan hiburan.

“Suspek pertama ditahan pada jam 1.45 pagi di tingkat bawah premis bersama 78 peket serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 2,330 gram dan 80 biji pil Eramin 5 seberat 23 gram.

Iklan

"Suspek kedua ditahan di tingkat atas dengan 300 peket serbuk ekstasi seberat 12,870 gram,” katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini pada Khamis.

Beliau memberitahu, ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek adalah negatif dadah.

Iklan

Polis turut menyita wang tunai RM1,085 di premis hiburan itu semasa operasi terbabit.

"Nilai pasaran rampasan dadah pula dianggarkan RM2.7 juta yang berpotensi membekalkan dadah kepada lebih 30,000 pengguna sehari," jelas beliau.

Menurut Md Yusof, operasi itu antara kejayaan rampasan terbesar IPD Sabak Bernam pada tahun ini.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, penjara seumur hidup dan sebatan sekurang-kurangnya 15 kali," katanya.

Dalam operasi sama, katanya, polis turut menahan 29 pengunjung premis terdiri daripada 14 lelaki dan 15 wanita berusia 20 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan.

"Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dadah bagi memastikan keselamatan masyarakat kekal terjamin," jelas beliau.