246 anak WKP terima anugerah kecemerlangan

Iklan
Mohamed Khaled (tengah) bergambar bersama sebahagian daripada pelajar cemerlang pada majlis AKP 2025 di Wisma Perwira ATM di Kuala Lumpur pada Rabu. Foto: Rosli Talib

KUALA LUMPUR – Senyuman bangga jelas terpancar di wajah 246 anak Warga Kerja Pertahanan (WKP) yang diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Tahun 2025, di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini pada Rabu.

Majlis penuh bermakna itu disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan kejayaan anak-anak tersebut sebagai bukti semangat juang mereka dalam menimba ilmu seiring peranan ibu bapa yang berkhidmat mempertahankan negara.

Iklan
Iklan

Anugerah itu merupakan inisiatif tahunan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bagi memberi penghargaan kepada anak WKP yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam dan luar negara serta mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohamed Khaled (tiga dari kanan) menerima tajaan biasiswa pendidikan bagi anak-anak dan anggota ATM daripada Naib Canselor City University Malaysia, Profesor Dr Rosnizah Shaari (tiga dari kiri) pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan 2025 di Wisma Perwira ATM.

Iklan

Jika sebelum ini hanya anak anggota ATM menerima pengiktirafan ini, tahun 2025 menyaksikan anugerah turut diperluaskan kepada anak kakitangan awam Kementerian Pertahanan, satu langkah yang memberi makna besar kepada semua warga pertahanan.

“Pengiktirafan seperti ini bukan sahaja mengiktiraf kejayaan akademik tetapi juga menjadi inspirasi dan teladan kepada anak-anak WKP yang lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan.

Iklan

Seiring Teras Ketiga Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 (Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan), Yayasan LTAT melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk Program Sentuhan Elit SPM, Program e-Perkasa SPM, Program STEM, Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T), Program Simpanan Pendidikan Madani dan Program Bantuan Pengajian Tinggi.

Usaha itu mencerminkan iltizam berterusan Kementerian Pertahanan bersama Yayasan LTAT dalam memastikan kesejahteraan pendidikan anak-anak warga ATM terus terpelihara.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan pengajian tinggi, Haya Sofea Anisa Imezully, 21, berkata, bantuan wang tunai secara sekali beri yang diterima dapat digunakan untuk keperluan pembelajarannya di Universiti Al-Azhar.

Haya Sofea (kanan) menerima bantuan Universiti Luar Negara disampaikan Mohamed Khaled (kiri) pada majlis berlangsung di Wisma Perwira ATM di ibu negara.

Anak kedua daripada lima beradik yang mengambil jurusan perubatan itu turut meluahkan rasa bangga kerana lahir dalam keluarga tentera yang mengutamakan disiplin dalam kehidupan harian, seterusnya menyumbang kepada kejayaannya itu.

Seorang penerima Anugerah Kecemerlangan SPM, Awatief Qasdiena Ahmad Mustaqim, 18, yang memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM tahun lalu dan kini menuntut di Universiti Pertanian Malaysia, menyifatkan bantuan Yayasan LTAT dan ATM memberi makna besar kepadanya.

“Saya bersyukur dengan segala bantuan yang diberikan dan ia dapat memberikan suntikan semangat kepada saya untuk terus maju,” katanya.

Bagi Muhamad Fahim Zulkarnain Mohd Faizal, 18, anugerah kecemerlangan dan bantuan biasiswa yang diberikan kepada anak-anak WKP untuk melanjutkan pelajaran adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap kerja keras pelajar-pelajar terbabit.

Turut memeriahkan majlis ialah barisan kepimpinan tertinggi ATM termasuk Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain; dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM.

Hadir sama, Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara); Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi; Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohamad Nizar Sudin serta pegawai kanan lain.