ECRL lonjak Pahang sebagai hab ekonomi Pantai Timur - Wan Rosdy

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN- Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diyakini mampu melonjakkan Pahang sebagai hab pelaburan, perindustrian dan logistik utama di Pantai Timur.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keyakinan tersebut didorong oleh perancangan pembangunan secara tersusun di setiap stesen menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak berkepentingan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak tujuh stesen ECRL dibangunkan bagi menampung keperluan industri berdasarkan pembangunan berorientasikan transit (Transit-Oriented Development - TOD) iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, KotaSAS, Kuantan Port City dan Cherating.

"Stesen ECRL Bentong akan dihubungkan dengan Kawasan Perindustrian Bentong yang dibangunkan secara berfasa (438 ekar).

Iklan

"Pembangunan di kawasan stesen ini akan memfokuskan kepada industri berat dan sederhana yang berpotensi memanfaatkan kemudahan logistik ECRL untuk pengangkutan serta akses pasaran," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, Rizal Jamin yang ingin mengetahui perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan pusat atau taman industri sepanjang jajaran ECRL dan apakah jenis industri dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan.

Iklan

Wan Rosdy menambah, di stesen ECRL Temerloh pula dibangunkan berhampiran beberapa kawasan perindustrian sedia ada seperti Kawasan Perindustrian Temerloh, Songsang dan Kampung Sempadan.

 

Jelas beliau, kawasan ini dikenal pasti untuk pembangunan pelbagai jenis industri termasuk perabot dan pemprosesan dengan potensi sebagai nod logistik wilayah tengah.

Bagi stesen ECRL Maran, Wan Rosdy berkata, ia dilihat berpotensi dibangunkan sebagai pusat pengumpulan mineral seperti bauksit, emas, silika dan bijih besi.

"Selain itu, stesen ini juga akan diketengahkan dalam kluster industri pemprosesan dan pembungkusan minyak sawit memandangkan lokasinya yang strategik di kawasan pengeluaran sawit," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, di stesen ECRL Paya Besar pula akan menjadi tumpuan pembangunan industri berimpak tinggi menerusi tiga kawasan utama iaitu Pahang Technology Park (PTP), Gambang Halal Park (GHP) dan Kompleks Makanan Halal atau Bengkel IKS.

Menurut beliau, pembangunan di kawasan ini menyasarkan industri ringan, sederhana dan berat serta telah dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur asas.

 

Wan Rosdy menambah di Stesen ECRL KotaSAS pula akan menyokong perancangan pembangunan di KotaSAS.

"Ia meliputi pusat pertumbuhan perbandaran baharu, perumahan bersepadu dan mampu milik serta pusat komersial dan perniagaan moden.

"Stesen ini juga terletak berhampiran Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) yang bakal menjadi nadi pentadbiran baharu negeri," katanya.

Selain itu, Adun Jelai turut memberitahu di Stesen ECRL Kuantan Port City akan menjadi hab logistik utama yang menghubungkan ECRL ke Pelabuhan Kuantan melalui laluan tambahan.

Katanya, stesen ini akan menyokong pembangunan kawasan perindustrian seperti Gebeng, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan MCKILP yang memfokuskan industri berat termasuk petrokimia, minyak dan gas serta pembuatan berskala besar.

Sementara itu, beliau berkata, Stesen ECRL Cherating dilihat mampu menyokong pembangunan pelaburan dalam sektor pelancongan pesisir pantai, hospitaliti dan ekopelancongan.

"Stesen ini juga berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui pelancongan di kawasan tersebut," katanya.