KPM digesa seragamkan SOP sekolah berasrama bendung kes buli - MTPN

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Faiz

 

KUALA TERENGGANU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggubal dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih tegas serta seragam di semua sekolah berasrama bagi membendung kes buli yang dilihat semakin membimbangkan.

Iklan
Iklan

Naib Presiden (Timur) MTPN, Datuk Mohd Faiz Zulkifli berkata, kes buli yang kerap berlaku termasuk insiden terbaharu yang tular di media sosial bukan sahaja mengancam keselamatan pelajar, malah menghakis keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah berasrama.

Menurutnya, fenomena buli di asrama tidak lagi boleh dianggap sebagai salah laku disiplin semata-mata, sebaliknya ia adalah krisis kemanusiaan yang melibatkan penderaan fizikal, mental, emosi dan sosial.

Iklan

"Saringan kemasukan pelajar merangkumi ujian psikologi, semakan latar belakang keluarga dan rekod disiplin perlu dilakukan sebelum penempatan bagi mengelak kemasukan pembuli tegar.

"Selain itu, pemantauan 24 jam melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), rondaan warden serta teknologi pengesanan awal juga penting, selain latihan anti-buli wajib kepada pelajar, guru dan warden meliputi pengurusan emosi, empati, kemahiran menyelesaikan konflik dan kesedaran undang-undang.

Iklan

"Saluran aduan selamat seperti talian 24 jam, aplikasi digital, kod QR, bahasa isyarat atau peti aduan dengan kerahsiaan terjamin perlu disediakan, di samping kerjasama rapat antara KPM, PDRM, Kementerian Kesihatan, kaunselor bertauliah dan NGO untuk tindakan pantas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, laporan disiplin asrama pula perlu dikongsi secara berkala bersama ibu bapa supaya mereka sentiasa boleh memantau keadaan anak-anak mereka.

"Kita tidak boleh lagi mengambil pendekatan tunggu dan lihat. SOP baharu ini adalah pelaburan untuk keselamatan anak-anak, reputasi sekolah dan masa depan negara," katanya.

Beliau berkata, kelemahan dalam sistem pengurusan dan pengawasan di asrama, termasuk kekurangan tenaga warden serta tiadanya garis panduan khusus yang ketat, menjadi antara punca perbuatan buli berulang tanpa kawalan.

Katanya, setiap kes buli yang tular akan merosakkan reputasi sekolah berasrama, sekali gus menjejaskan keyakinan ibu bapa terhadap institusi tersebut.

"Menurut beberapa NGO pendidikan, kebanyakan insiden buli di negara ini berlaku di kawasan sekolah, termasuk di asrama. Malangnya, sebahagian besar kes tidak dilaporkan kerana mangsa bimbang akan keselamatan diri, berasa malu, atau khuatir tiada tindakan tegas akan diambil.

"Keadaan ini mewujudkan budaya senyap yang membolehkan perbuatan buli berterusan tanpa kawalan.

"Lebih membimbangkan, trend ini semakin menular di sekolah berasrama penuh dan asrama harian, mungkin kerana faktor kawalan yang longgar, kekurangan tenaga warden, dan ketiadaan SOP khusus yang ketat serta seragam di seluruh negara," ujar beliau.

Katanya, semua pihak perlu bertindak segera dan menganggap isu buli ini sebagai darurat sosial yang tidak boleh ditangguh.

"Sekolah berasrama sepatutnya menjadi tempat anak-anak kita membesar dengan selamat, bukan medan mereka belajar rasa takut. Jika kita gagal bertindak hari ini, generasi akan datang akan mewarisi trauma yang kita biarkan.

"Satu nyawa yang hilang atau masa depan yang musnah akibat buli adalah kehilangan yang terlalu besar untuk diterima," ujarnya.