PONTIAN – Seorang remaja lelaki berusia lingkungan 15 tahun maut dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 3, Jalan Pontian/Kukup, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohd Shoffee Tayib, kejadian dipercayai berlaku pada jam 6.47 pagi ketika mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Pontian menuju ke Kukup.
Iklan
Iklan
"Sebaik melalui kawasan berkenaan, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya lalu merempuh bahagian belakang Perodua Alza yang berhenti di lokasi.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan, menyebabkan dia dilanggar sebuah kereta Honda Jazz.
"Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kedua-dua pemandu kereta tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd Shoffee, kemalangan itu turut menyebabkan motosikal mangsa rosak teruk, namun kedua-dua kereta hanya mengalami kerosakan pada bahagian badan kenderaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.