Ringgit terus meningkat hari ketiga berturut-turut susulan dolar AS lemah

Iklan
Ringgit terus mencatat peningkatan berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut berikutan kedudukan selamat mata wang Amerika itu semakin lemah. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Ringgit terus mencatat peningkatan berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut berikutan kedudukan selamat mata wang Amerika itu semakin lemah selepas data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) bagi Julai merekodkan angka lebih rendah daripada jangkaan, sekali gus menguatkan andaian terhadap penurunan kadar faedah pada September.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.2040/2085 berbanding dolar AS, meningkat 0.57 peratus daripada 4.2290/2320 ketika ditutup pada Selasa.

Iklan
Iklan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan iaitu 2.7 peratus pada Julai, berpunca terutamanya daripada penurunan sederhana kadar sewa setara pemilik (OER) kepada 4.1 peratus selepas kekal pada 4.2 peratus selama dua bulan berturut-turut.

Beliau menjelaskan bahawa OER menyumbang kira-kira 25 peratus daripada wajaran dalam pengiraan IHP.

Iklan

“Pasaran buruh yang lemah dan kadar inflasi stabil dilihat akan mempengaruhi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada September, berikutan dalam mesyuarat Julai, dua ahli menyokong penurunan kadar 25 mata asas,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit ditutup rendah berbanding mata wang utama lain.

Iklan

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.8554/8586 daripada 2.8490/8512 ketika ditutup pada Selasa, berkurangan berbanding euro kepada 4.9305/9357 daripada 4.9090/9125, dan menurun berbanding pound Britain kepada 5.7078/7139 daripada 5.6905/6946.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2864/2902 daripada 3.2867/2893, dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 259.4/259.8 daripada 259.6/259.9.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.0276/0476 daripada 13.0135/0300 sebelumnya, dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.41/7.42.