SETELAH sekian lama bergelumang dengan taktikal dan tekanan di tepi padang sebagai jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini kembali menggalas peranan sebagai penganalisis apabila menyertai barisan pengulas bola sepak Astro bagi musim baharu Liga Malaysia (Liga-M).
Figura berusia 44 tahun itu bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tempatan, mahupun dunia penyiaran sukan.
Namun, kepulangan beliau kali ini membawa nilai tambah berbeza disulami pengalaman sebagai bekas jurulatih Penang FC, sekali gus menjanjikan perspektif yang lebih mendalam, matang dan tajam dalam setiap ulasan menerusi analisis ala Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menghiburkan.
Penghijrahan dari hiruk-pikuk padang ke suasana santai di studio penyiaran sukan sesuatu yang asing, tetapi ia satu fasa baharu bagi Akmal Rizal yang melihat peranan tersebut sebagai kesinambungan minatnya yang mendalam terhadap sukan nombor satu negara itu.
“Ini bidang saya dalam bola sepak. Walaupun bukan sebagai jurulatih, tetapi sebagai pundit, saya gembira kerana masih lagi dapat meneruskan khidmat dalam kancah bola sepak kita.
“Ini bukan perkara baharu, jadi saya akan cuba berikan yang terbaik,” ujar anak kelahiran Jitra, Kedah itu.
Selain Akmal Rizal, Astro turut memperkukuh pasukan penyiarannya dengan penglibatan seorang lagi figura bola sepak iaitu bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias.
Kehadiran dua muka baharu itu akan melengkapkan barisan sedia ada seperti Zaquan Adha Abd Radzak, Safee Sali, Razman Roslan, Nizaruddin Yusof, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan Datuk Zainal Abidin Hassan.
Dari padang ke studio
Bagi Akmal Rizal, peranan sebagai pengulas bukan sekadar mengisi kekosongan sementara menanti tawaran kejurulatihan seterusnya tetapi ia adalah platform untuk menterjemahkan pengalaman luasnya sebagai bekas pemain, jurulatih dan kini penganalisis.
Menerusi pengalaman bermain di Eropah ketika zaman remaja, beliau berhasrat untuk menaikkan taraf perbincangan bola sepak di Malaysia, menjadikannya lebih menghiburkan dan informatif, sama seperti apa yang dinikmati oleh penonton siaran antarabangsa.
“Seperti kita lihat penganalis di EPL, kita seronok mendengar dan apa yang mereka bincangkan. Saya akan cuba dengan rakan-rakan untuk memberi keseronokan itu kepada penonton,” katanya yang pernah berlatih bersama skuad bawah 17 tahun Bayern Munich di Jerman pada akhir tahun 1990-an.
Beliau yang pernah menyertai kelab RC Strasbourg dan FCSR Haguenau di Perancis juga komited untuk menyajikan analisis yang tidak hanya tertumpu kepada keputusan perlawanan, tetapi juga mendalami aspek teknikal dan taktikal yang membentuk corak permainan.
“Pengalaman sebagai pemain dan jurulatih memberi saya pemahaman daripada sudut teknikal dan taktikal. Tanggungjawab saya adalah untuk memberi analisa yang berlandaskan apa yang benar-benar berlaku di atas padang,” tambah Akmal Rizal.
Analisis jujur
Satu perkara yang menjadi pegangan Akmal Rizal ialah kejujuran dalam memberi ulasan.
Baginya, kredibiliti seorang penganalisis tidak terletak pada populariti tetapi pada keberanian menyampaikan fakta dengan adil dan seimbang.
“Saya sudah biasa dengan kritikan, sama ada sebagai pemain atau jurulatih.
“Saya tahu tak semua orang akan bersetuju tetapi kejujuran adalah asas untuk membina kepercayaan penonton.
“Apa yang positif saya ambil, manakala yang negatif saya akan cuba perbaiki. Apa yang penting adalah menyampaikan fakta dengan jujur,” ujarnya.
Menerusi kepulangan Akmal Rizal ke skrin televisyen, peminat bola sepak boleh menjangkakan satu dimensi analisis yang lebih mantap dan menghiburkan.
Ia hasil gabungan pengalaman tempatan, sentuhan taktikal Eropah dan pandangan jujur seorang legenda yang kembali menakluk 'padang' yang berbeza.