SHAH ALAM - Kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir menuntut semua pihak sama ada pelaku, pelindung atau yang cuai dibawa ke muka pengadilan.
Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, insiden itu adalah amaran besar mengenai keselamatan anak-anak di negara ini.
Menurutnya, kelemahan siasatan awal seperti tiada bedah siasat dan kegagalan mengambil pakaian mangsa untuk dianalisis menimbulkan persoalan besar terhadap prosedur pihak berkuasa.
“Selepas desakan, barulah jenazah digali semula untuk mencari kebenaran.
“Sebagai seorang ayah, saya bukan sahaja takut untuk anak saya, tetapi juga untuk anak-anak yang mungkin menjadi pelaku,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Afdlin Shauki yang juga pelakon dan pengarah filem terkenal berkata, kes buli memberi kesan kepada psikologi, namun kejadian kali ini berakhir dengan kehilangan nyawa.
Beliau turut mempersoalkan mengapa wujud pelaku remaja yang sanggup membuli hingga membahayakan nyawa orang lain.
“Kenapa anak-anak kita ada yang menjadi pembuli kejam sehingga tidak mempedulikan keselamatan sesama insan,” soalnya.
Dalam pada itu, Afdlin Shauki menegur isu bendera Malaysia yang dipasang secara terbalik, yang disifatkannya mencemar maruah negara.
“Maruah negara bukan bahan mainan kerana jika sengaja, ambil tindakan. Kalau tersilap, segera betulkan dan jadikan pengajaran.
“Kita mesti waras, tetapi jangan diam kerana kebenaran mesti menang,” tegasnya.