Keputusan representasi pemandu Honda Jazz ditangguh lagi

Iklan
Tertuduh yang berusia 17 tahun berkerusi roda ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu.

SEREMBAN - Mahkamah Majistret di sini pada Rabu sekali lagi menangguhkan keputusan representasi pemandu Honda Jazz yang menyebabkan tiga remaja maut di Senawang, Mac lalu.

Majistret Saiful Sayoti memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih belum menerima keputusan representasi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika prosiding keputusan yang sepatutnya pada Rabu.

Iklan
Iklan

Mahkamah kemudian menetapkan 10 September depan sebagai tarikh baharu keputusan representasi.

Prosiding tersebut bagaimanapun berlangsung secara tertutup berikutan tertuduh yang berusia 17 tahun merupakan pesalah di bawah umur.

Iklan

Tertuduh diwakili peguam Johan Radzi manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu Honda Jazz telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.

Iklan

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Height, Senawang di sini pada 6 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, remaja lelaki itu didakwa tidak memiliki lesen memandu di lokasi dan masa sama.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.

Bagaimanapun pada prosiding kes 23 April lalu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan pada 21 Mei, peguamnya memberitahu akan mengemukakan representasi.

Terdahulu, remaja 17 tahun itu yang berkerusi roda hadir bersama ibunya dengan ditemani ahli keluarga lain.

Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah Honda Jazz yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

Empat hari kemudian, seorang lagi mangsa yang cedera parah turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di sini.