Kelantan TRW masih cari rentak

Iklan
Kapten Kelantan TRW, Ifedayo Olusegun berjersi 12 antara yang menunjukkan peningkatan prestasi.

ISU keserasian terus menjadi cabaran utama buat Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) meskipun prestasi pemain menunjukkan peningkatan ketika seri 1-1 menentang Imigresen FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Selasa.

Pengendali Kelantan TRW, E Elavarasan menegaskan majoriti pemain skuad Pantai Timur itu adalah muka baharu, berbeza dengan lawan yang kebanyakannya sudah lama beraksi bersama.

Iklan
Iklan

“Kalau dibandingkan dengan Imigresen yang kebanyakannya dari Kedah dan sudah lama bermain bersama, kita masih dalam proses mencari keserasian.

“Nampak hantaran yang terlepas dan banyak kesilapan di bahagian penyudah, tetapi kami yakin akan memperbaikinya pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Iklan

Dalam aksi itu, Imigresen FC terlebih dahulu berada di depan menerusi sepakan penalti Eduardo Sosa pada masa kecederaan separuh masa pertama sebelum Kelantan TRW menyamakan kedudukan pada minit ke-79 hasil sepakan penalti Ifedayo Omosuyi.

Elavarasan turut memuji peningkatan corak permainan anak buahnya, terutama pada separuh masa kedua.

Iklan

“Peluang yang kami peroleh lebih banyak daripada lawan, tetapi penyudah tidak tepat untuk menghasilkan gol. Ini yang akan kami fokuskan dalam latihan akan datang,” ujarnya.

Pada masa sama, Elavarasan juga mengakui gol yang dibatalkan menerusi video bantuan pengadil (VAR) pada separuh masa pertama sedikit mengubah rentak permainan.

Namun beliau bangga pasukan tuan rumah berjaya bangkit walaupun berdepan tekanan selepas penalti diberikan kepada The Mighty Tigers.

Kelantan TRW selepas ini akan melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC dalam aksi pertama Pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, sebelum berkunjung ke Likas menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super.

Mengulas pertemuan menentang The City Boys, Elavarasan menegaskan pasukannya akan berusaha sedaya upaya tanpa meletakkan sasaran khusus.

“Dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku. Kami akan berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.