SHAH ALAM – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) merekodkan peningkatan mendadak dalam kelulusan lesen abstraksi air permukaan dan air bumi sejak empat tahun lalu.
Pengarah LUAS, Ir Dr Mohmad Asari Daud berkata, lesen abstraksi air permukaan meningkat kira-kira 150 peratus, daripada 194 permohonan pada 2020 kepada 488 lesen sehingga 31 Disember 2024.
“Bagi lesen abstraksi air bumi, ia turut mencatatkan peningkatan hampir 99 peratus, iaitu daripada 308 permohonan pada 2020 kepada 612 lesen pada tahun lalu.
“Sehingga 31 Julai tahun ini sahaja, sebanyak 230 lesen abstraksi air permukaan dan 124 lesen air bumi diluluskan, namun angka ini khususnya bagi aktiviti abstraksi air bumi menunjukkan penurunan yang agak ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pengendalian Abstraksi Air Permukaan dan Air Bumi Selangor 2025 (SAPBS 2025) di sini pada Selasa.
Seminar anjuran LUAS dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Institut Geologi Malaysia (IGM) dan Digital Geoscience Global (DGEG) itu menjadi platform perkongsian panduan, kepakaran dan maklumat kepada jabatan kerajaan, agensi, konsultan serta pemegang lesen berkaitan pengurusan sumber air negeri.
Menurut Mohmad Asari, aktiviti abstraksi sumber air terbesar di Selangor direkodkan di kawasan Lembangan Sungai Langat.
“Sungai Langat menjadi tumpuan aktiviti perindustrian, utiliti awam, kuari dan pembangunan, yang memerlukan jumlah abstraksi air yang besar,” jelasnya.
Beliau menambah, LUAS mengalu-alukan lebih banyak penerokaan dan penggunaan air bumi, khususnya oleh pihak industri, kerana ia mampu mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat selain menawarkan kos dan caj lebih rendah.
“Langkah ini secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan terhadap bekalan air negeri serta menyokong pertumbuhan sektor ekonomi,” katanya.