KUALA LANGAT - Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) mendedahkan kira-kira 2,000 asnaf di negeri ini diperalat dan dijadikan keldai akaun susulan taktik penipuan sindiket yang memanipulasi golongan rentan berikutan kesempitan hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaizir Shahari berkata, hasil semakan dalaman termasuk maklumat daripada institusi kewangan menunjukkan sebahagian penerima bantuan terkesan apabila akaun bank mereka disenarai hitam, sekali gus menjejaskan penyaluran bantuan bulanan.
"Mereka (asnaf) ini lebih senang dimanipulasi ekoran kesempitan wang. Ada yang sanggup menerima tawaran bayaran berjumlah RM100 setiap bulan dengan hanya serahkan kad pengenalan, buka akaun bank serta tetapkan kata laluan kad mesin pengeluaran automatik (ATM) sebelum diserahkan kepada sindiket.
"Biasanya mereka akan tersedar ketika mahu menerima bantuan bulanan. Pihak bank akan memaklumkan bayaran bantuan tidak lulus kerana akaun telah disenarai hitam,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Simbolik Agihan Bantuan Ramadan dan Hari Raya 1447H/2026M di Pusat Konvensyen KSL, yang turut dihadiri Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Miszairi Sitiris.
Mohd Khaizir berkata, Zakat Selangor mula mengesan pola kegagalan transaksi bantuan apabila institusi perbankan memaklumkan akaun penerima tertentu disenarai hitam berikutan penglibatan dalam kes berkaitan penipuan kewangan.
"Apabila ditanya kepada bank, didapati akaun disenarai hitam sebab ada kes. Apabila kita lihat kes-kes itu didapati ramai pula asnaf kita menjadi keldai akaun. Sindiket pula beranggapan ini adalah peluang untuk buat duit.
"Oleh itu, Zakat Selangor terpaksa memikirkan kaedah lain sekiranya masih ada akaun asnaf yang tidak boleh diakses bagi memastikan bantuan boleh diserahkan dengan cepat," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Khaizir menegaskan, status disenarai hitam tidak menafikan kelayakan asnaf menerima zakat, sebaliknya menuntut kaedah penyaluran alternatif agar bantuan berterusan tanpa melanggar peraturan perbankan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Zakat Selangor akan mempergiat program literasi kewangan, kempen kesedaran anti-scam serta mekanisme penyaluran bantuan alternatif bagi memastikan kebajikan asnaf terus terpelihara, di samping memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak bank serta agensi berkaitan.
Terdahulu, Mohd Khaizir mengumumkan Zakat Selangor pada tahun ini akan mengagihkan bantuan kepada lebih 78,000 ketua keluarga asnaf melibatkan jumlah keseluruhan mencecah hampir RM36 juta bermula 1 Ramadan bersamaan 19 Februari di seluruh negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata, Zakat Selangor menyasarkan peningkatan kutipan zakat fitrah sebanyak lima peratus tahun ini didorong usaha penambahbaikan sistem kutipan sedia ada secara berperingkat termasuk peluasan penggunaan aplikasi digital serta pengukuhan rangkaian petugas di masjid dan surau bagi memastikan kelancaran urusan pembayaran.
"Kita menyasarkan peningkatan kira-kira lima peratus berdasarkan prestasi kutipan 2024 yang merekodkan RM41 juta manakala pada 2025 sebanyak RM43 juta,” katanya.
Beliau berkata, Zakat Selangor juga sedang giat memperkukuh keupayaan lapangan menerusi pelantikan 2,400 Penolong Amil Fitrah (PAF) yang ditempatkan di 460 masjid dan surau terpilih di seluruh negeri sepanjang Ramadan bagi memastikan kelancaran operasi kutipan.
Dalam usaha mempertingkat kecekapan kutipan, Mohd Khaizir memaklumkan, setakat ini penggunaan sistem aplikasi mudah alih telah dilaksanakan sepenuhnya di lima daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak, manakala daerah lain masih menggunakan kaedah hibrid.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, 19 cawangan Zakat Selangor di seluruh negeri akan beroperasi tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan bagi menampung peningkatan kehadiran pembayar zakat serta memastikan akses perkhidmatan lebih meluas kepada masyarakat. - Bernama