SEPANG – Tiga warga asing ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan dengan menjalankan aktiviti mengemis di Balai Perlepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) di sini pada Selasa.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, penahanan dua lelaki warga Algeria dan seorang lelaki warga Iraq itu dibuat dalam operasi pemantauan ‘Ulat KLIA’ yang dijalankan agensi berkenaan dengan kerjasama Pasukan Keselamatan KLIA (AVSEC) dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi.
Iklan
Iklan
“Perbuatan tiga lelaki warga asing itu bukan sahaja melanggar syarat kemasukan ke Malaysia, malah menjejaskan imej negara serta mengganggu keselesaan penumpang di lapangan terbang.
“Ketiga-tiga mereka kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
AKPS memandang serius sebarang bentuk pelanggaran permit atau penyalahgunaan pas lawatan, khususnya aktiviti yang mencemarkan nama baik negara.