JOHOR BAHRU – Hujan lebat disertai angin kencang petang Ahad menyebabkan beberapa kediaman penduduk di kawasan Skudai mengalami kerosakan teruk apabila bumbung rumah mereka diterbangkan ribut, selain peralatan elektrik rosak akibat dimasuki air.
Tinjauan Sinar Harian di Taman Harmoni 1, Taman Sri Skudai, Kampung Poh Chee Leng, Taman Sri Puteri dan Kampung Laut di Skudai mendapati rata-rata penduduk kelihatan sedang sibuk membersihkan kawasan rumah masing-masing selain memperbaiki bahagian bumbung yang rosak.
Seorang suri rumah, Ku Yuh Hong, 33, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama suami, kakak dan abangnya.
Menurutnya, hujan agak lebat ketika itu dan setelah atap rumah diterbangkan angin, air hujan mula memasuki kawasan dalaman rumah.
“Hujan memang lebat dan air masuk membasahi ruang rumah bila bumbung sudah tidak ada. Air hujan turut mengenai DB (Distribution Board), namun nasib baik tak berlaku litar pintas.
“Selain itu, kereta milik ayah saya turut terkena tiang awning yang tercabut," katanya.
Seorang lagi mangsa, William Pua, 29, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama bapanya.
Bagaimanapun, dia menyedari beberapa pokok hampir tumbang berhampiran tiang elektrik di hadapan rumahnya.
“Masa itu hujan agak lebat dan kami sempat alihkan televisyen dan alat-alat elektrik lain sebelum ditenggelami air. Saya sempat tutup suis utama bagi mengelakkan berlakunya litar pintas,” katanya.
Sementara itu, seorang pesara, Pua Boon Huat, 67, berkata, ini merupakan kali pertama kejadian seburuk itu menimpa keluarganya.
Katanya, sebelum ini kejadian sama pernah berlaku dulu, tapi tidak seteruk kali ini.
"Kali ini banyak juga barang rosak, macam kusyen, kerusi, karpet (permaidani), dan bumbung pun hampir bocor apabila keping-keping atap diterbangkan angin.
"Memang ambil masa juga untuk baiki rumah ini tetapi saya sudah buat aduan kepada pihak yang berwajib," katanya.
“Semua televisyen, tilam dan kusyen rosak terkena air. Dulu tak pernah jadi seperti ini, memang teruk kali ini,” katanya yang sudah membuat laporan untuk memohon bantuan membaiki rumah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, pihaknya telah meminta penduduk yang terkesan untuk menyerahkan butiran kerosakan serta laporan polis dalam usaha memudahkan bantuan disalurkan.
"Kejadian ribut ini merupakan kejadian luar jangka dan telah mengakibatkan beberapa rumah di kawasan Skudai mengalami kerosakan.
"Oleh itu, kita minta mereka yang terlibat untuk serahkan butiran serta laporan polis untuk memudahkan kita bawa perkara ini kepada pihak pejabat daerah untuk tindakan lanjut," katanya.