ZETRIX AI Berhad (Zetrix AI) sebelum ini dikenali sebagai MY E.G. Services Berhad melancarkan NurAI, model bahasa besar (LLM) pertama di dunia yang dibina sepenuhnya berasaskan nilai Islam dan pematuhan Syariah yang ketat.
Dibangunkan berdasarkan prinsip Islam dan mencerminkan pandangan dunia Global Selatan, platform ini menawarkan panduan yang selaras dengan hukum Syariah dalam pelbagai bidang.
Antaranya, topik kontemporari seperti perundangan, penjagaan kesihatan dan kewangan hinggalah kepada ilmu teras Islam yang meliputi sejarah, falsafah Islam dan pengajian al-Quran.
Pengarah Zetrix AI, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah berkata, strategi pelaksanaan NurAI dirangka secara berperingkat dan progresif.
“Pada peringkat awal, fokus diberikan kepada pengguna awam di Malaysia dan Indonesia melalui pelancaran aplikasi freemium B2C. Aplikasi ini menawarkan panduan umum selaras dengan Syariah, beserta ciri tambahan premium seperti kalkulator faraid dan panduan bioetika perubatan moden.
“Seterusnya, pada fasa kedua, tumpuan akan beralih kepada integrasi institusi menerusi model B2B dan B2G. Dalam fasa ini, NurAI akan ditawarkan kepada institusi kewangan Islam, platform fintech, agensi pensijilan halal dan institusi perundangan Syariah,” katanya pada majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur pada Selasa.
Majlis pelancaran telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dianjurkan bersempena Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025.
Menurut Ahmad Zahid, platform NurAI merupakan contoh terbaik bagaimana agama dan teknologi boleh disatukan demi maslahat ummah dan kemajuan negara.
“Saya ingin menyeru kepada semua pihak, sama ada sektor kerajaan, swasta, institusi kewangan dan badan agama agar memberi sokongan penuh kepada pembangunan dan pengembangan teknologi seperti NurAI,” katanya.
Ujar Mohd Jimmy Wong lagi, NurAI menampilkan pelbagai ciri unik yang dibangunkan berdasarkan panduan ulama daripada pelbagai mazhab serta pakar feqah.
“Seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) terkemuka yang lain, NurAI akan terus berevolusi untuk memenuhi keperluan pengguna. Namun, ia akan sentiasa disesuaikan dengan nilai tempatan dan tuntutan agama.
“Usaha berterusan ini berhasrat membina rangka kerja pematuhan Syariah bersama badan-badan agama berwibawa agar setiap jawapan kekal selari dengan prinsip Islam.
“Dengan itu, tahap kepercayaan terhadap NurAi jauh disasarkan menjadi lebih tinggi berbanding model-model lain yang hanya bergantung kepada ketelusan algoritma,” katanya.
Sebagai LLM yang pertama seumpamanya, NurAI memberikan alternatif kepada negara Muslim dan komuniti majoriti Muslim berbanding model AI dari Barat dan China yang lazimnya tidak selaras dengan nilai-nilai Islam dan keutamaan pembangunan Global Selatan.
Keadaan tersebut mewujudkan jurang ketara bagi dua bilion umat Islam, ekonomi Islam yang bernilai USD3 trilion serta negara-negara Global Selatan yang mencari teknologi AI yang selaras dengan nilai budaya, prinsip agama dan keutamaan pembangunan mereka.
"NurAI memenuhi keperluan ini dengan menawarkan alternatif AI yang selaras dengan Syariah untuk pasaran yang kurang diberi perhatian oleh platform sedia ada.
"Ia juga menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap kedaulatan AI dan teknologi selaras Syariah daripada kerajaan dan institusi di Malaysia, Indonesia dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC)," kata Mohd Jimmy Wong.
Menariknya, selain penggunaan orang awam, NurAI turut menjadi asas kepada pembangunan infrastruktur ekonomi digital Islam yang lebih meluas merangkumi perdagangan halal, rantaian bekalan, kewangan Islam dan tadbir urus sekali gus memperkukuh kedaulatan AI di pasaran membangun.
Dalam pada itu, salah satu ciri unik NurAI ialah saluran AI Avatar yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan avatar yang dimodelkan mengikut pakar dalam pelbagai bidang.
Dilatih menggunakan set data eksklusif, saluran-saluran ini mencerminkan kepakaran dan falsafah pengajaran unik setiap pakar.
Ia seolah-olah memiliki rakan AI peribadi yang bertindak sebagai ustaz atau pakar kewangan Islam yang mampu berinteraksi secara langsung dengan pengguna.
Berbanding dengan kebanyakan LLM yang memberikan jawapan umum merentas pelbagai bidang, saluran AI Avatar NurAI menawarkan pandangan lebih mendalam dan terperinci khususnya dalam topik yang memerlukan interpretasi dan pemahaman teliti.
Pasukan NurAI akan turut memperkenalkan saluran Kewangan Islam dengan kerjasama Universiti INCEIF, sebuah institusi di bawah Bank Negara Malaysia, serta saluran lain yang dikendalikan oleh ulama terkenal dari seluruh dunia.
NurAI tersedia dalam Bahasa Melayu, Indonesia, Arab dan Inggeris di kedua-dua platform desktop dan mudah alih dengan pengalaman pengguna yang mesra dan interaktif sambil mengekalkan penyelarasan kepada Syariah untuk pengguna Muslim di seluruh dunia.
Versi desktop boleh diakses di https://nur-ai.ai.
Dibangunkan di bawah bimbingan Lembaga Penasihat Syariah rasmi, NurAI berakar umbi pada etika Islam dan penyelarasan ketat kepada Syariah menjadikannya sebuah platform yang berprinsip dan boleh dipercayai.
Pasukan pembangunan NurAI akan membentuk kerangka penyelarasan Syariah dengan kerjasama badan agama utama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ulama Indonesia (MUI), Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) dan Universiti Al-Azhar di Mesir.
NurAI juga berfungsi sebagai model asas LLM yang membolehkan pembangunan AI generatif berasaskan agen dan khusus mengikut domain, bagi menyediakan penyelesaian yang disesuaikan untuk aplikasi dunia sebenar dalam sektor seperti kewangan Islam, pendidikan, tadbir urus dan pengawalseliaan industri halal.
Dengan pelancaran NurAI, Malaysia bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya dalam pensijilan halal, kewangan Islam dan ilmu Syariah malah muncul sebagai peneraju inovasi AI beretika.
Jelas Mohd Jimmy Wong, Zetrix AI komited terus meneroka kerjasama baharu, memperluaskan pembangunan model asas Islamik dan memastikan akses kepada teknologi ini terbuka dan bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat.
"Kami percaya bahawa masa depan AI tidak harus ditentukan oleh satu naratif tunggal tetapi oleh pelbagai suara dan keperluan dari setiap penjuru dunia.
"Dan NurAI mewakili suara itu, suara yang berpandukan Syariah diasaskan etika dan digerakkan oleh inovasi," katanya.