'Serik 13 kali meringkuk di sebalik tirai besi'

Iklan
Siti Murni (tengah) mengiringi Ahmad Faudzi (kanan) melawat ke Pusat Pengurusan J&T Alam Megah dan meninjau program pemulihan di GRCC di sini pada Selasa.

SHAH ALAM – Hidup bergelumang dengan jenayah akhirnya memerangkap dua lelaki ini ke tirai besi berkali-kali sebelum mereka memilih untuk insaf dan memulakan hidup baharu.

Seorang banduan, Muniandy (bukan nama sebenar), 40, berkata dia sudah keluar masuk penjara sebanyak 13 kali akibat terbabit dengan kerja kutip hutang bagi sindiket ah long.

Iklan
Iklan

“Kerja macam ini memang tak pernah aman. Kalau peminjam tidak bayar, kami diarahkan untuk mencederakan peminjam.

"Pernah sampai ada peminjam yang patah kaki akibat dibelasah, tapi apa boleh buat sebab atas arahan bos.

Iklan

"Saya akui duit datang cepat sampai satu ketika pernah dapat upah sehingga RM80,000 sebulan, tapi hati tak pernah rasa tenang,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Ahmad Faudzi Awang ke Pusat Pengurusan J&T Alam Megah dan meninjau program pemulihan di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) di sini pada Selasa.

Muniandy berkata pengalaman dipenjara kali terakhir pada Mac lalu cukup memberi pengajaran dan kini dia bertekad mencari rezeki sendiri dengan bekerja di sebuah syarikat penghantaran barang.

Iklan

Sementara itu, Roslan (bukan nama sebenar), 34, berkata dia pernah terjebak mengedar ganja di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka sehingga menjalani hukuman di Penjara Sungai Udang dan Kajang.

“Sekali dah terlibat, susah hendak keluar dari dunia gelap ini, malah sentiasa hidup dalam ketakutan.

"Saya akui sepanjang terjebak dengan najis dadah duit pun cepat habis macam air, namun bila kena tangkap, semua yang rapat mula menjauh,” katanya.

Menurutnya, pengalaman pahit di penjara membuatkan dia mahu meninggalkan dunia jenayah sepenuhnya dan berharap masyarakat memberi peluang kedua kepada bekas banduan untuk membina semula kehidupan.

"Saya harap masyarakat buanglah stigma kami ini sebagai penjenayah, sedangkan kami berusaha untuk berubah dan jika tekanan berterusan kami bimbang kembali melakukan aktiviti tidak sihat," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia merancang menempatkan sehingga 3,000 bekas banduan dalam pelbagai sektor pekerjaan sebagai usaha mengurangkan kadar jenayah berulang.

Kata beliau, inisiatif itu dilaksanakan bagi memberi peluang kepada bekas banduan memulakan hidup baharu, selain mengurangkan kebergantungan majikan terhadap tenaga kerja asing.

“Rakyat Malaysia patut diberi keutamaan kerana ramai bekas banduan tidak ada arah tuju selepas dibebaskan, jadi kami beri kesedaran awal dan tempat penempatan supaya mereka tidak terjebak semula,” ujar beliau.

Menurutnya, PERGAK turut menjalankan program latihan industri seperti pertanian, pertukangan dan hospitaliti melalui projek agro dan tapak perkhemahan di Kampung Raja, Cameron Highlands yang kini siap 80 peratus.

“Kami bukan sekadar beri tempat tinggal, tapi latih mereka berdikari. Ada yang kami salurkan ke majikan melalui Jabatan Penjara, selain kami bawa ke projek pertanian untuk mereka bekerja dan belajar kemahiran baharu,” katanya.

Tambah beliau, lebih 10,000 bekas banduan telah menyertai program anjuran pihaknya dengan pelbagai kisah kejayaan termasuk ada yang kini bekerja di luar negara, menjadi usahawan dan kembali ke pangkuan keluarga sejak 2019 lagi.

“Kami akui tidak semua berjaya, ada yang tergelincir semula, tetapi jumlahnya kecil kerana kesedaran awal yang kami beri memberi kesan positif," tambah beliau.