JAWA TENGAH - Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun cedera selepas dibelasah oleh pelajar seniornya dalam kejadian buli yang dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu berkaitan hubungan cinta.
Mangsa yang dikenali sebagai R, pelajar sebuah Sekolah Menengah Atas (SMA) di Kota Tegal, diserang oleh pelaku berusia 18 tahun, P, di tandas sekolah ketika waktu rehat pada Khamis lalu.
Menurut maklumat yang tersebar di aplikasi WhatsApp, pelaku bertindak memukul mangsa hingga menyebabkan bibir luka, pelipis lebam serta dua batang gigi atas goyang.
Guru Unit Bimbingan dan Kaunseling (BK), Sri Rejeki, mengesahkan kejadian dan menyifatkan ia sebagai pelanggaran serius.
"Ia berlaku kerana cinta tiga segi. Pelaku berasa cemburu kerana R rapat dengan bekas kekasihnya hingga berkongsi foto di media sosial," jelas Sri.
Mangsa sebelum ini hadir membuat aduan kepada pihak BK namun enggan menamakan pelaku dan menyuarakan hasrat untuk berpindah sekolah.
"Tidak lama selepas itu, pelaku juga hadir di BK dan mengakui perbuatannya. Kedua-duanya saling tidak mengenali antara satu sama lain.
"Keluarga P juga sedia berpindah sekolah kerana pihak kami menganggap ia sebagai satu pelanggaran yang serius. Namun, hal itu masih dalam perbincangan,” tambah Sri.
Beliau berkata, pihak sekolah terbuka untuk membantu pelajar membuat aduan tanpa perlu mendedahkan identiti, bagi mengelakkan kejadian buli berulang. - Agensi