SHAH ALAM - Pendekatan menaikkan kuota penduduk bumiputera di Kuala Lumpur melebihi sasaran 40 peratus seperti termaktub dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dibimbangi boleh menjejaskan pasaran perumahan rakyat pada masa akan datang.
Pensyarah Kanan, Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Zairul Mohd Noor berkata, jika ia berlaku tanpa penambahan bekalan rumah mampu milik yang signifikan, pasaran perumahan berpotensi menjadi kurang cair, harga melonjak dan golongan muda terpaksa mencari kediaman di pinggir bandar.
“Sebaliknya strategi lebih mampan adalah meningkatkan bekalan rumah mampu milik dalam pelbagai bentuk termasuk sewa jangka sederhana, skim sewa-beli dan skim perkongsian ekuiti
“Selain itu, komuniti sedia ada perlu dilindungi melalui pelan pemindahan setempat, kawalan sewa ringan dan hak kembali selepas pembangunan semula,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, cadangan dalam PSKL2040 untuk memastikan peratusan penduduk bumiputera di ibu negara kekal sekurang-kurangnya 40 peratus dianggap tidak lagi relevan kerana angka itu telah lama melepasi paras tersebut sejak lebih dua dekad lalu.
Ujar Mohd Zairul, kerajaan perlu mengambil contoh dari negara luar termasuk Singapura yang menerapkan Dasar Integrasi Etnik (EIP) di perumahan awam bagi mengelakkan kelompok etnik tertutup.
“Di Montgomery County, Maryland, Amerika Syarikat (AS), dasar Inclusionary Zoning (IZ) telah memastikan unit mampu milik dibina dalam setiap projek sejak 1970-an.
“Kuala Lumpur tidak memerlukan kenaikan kuota bumiputera secara menyeluruh pada masa ini.
“Tumpuan perlu diberikan kepada pelaksanaan dasar di peringkat kawasan dan projek, dengan menetapkan sasaran unit campur yang seimbang, menambah bekalan rumah mampu milik di lokasi strategik, memastikan bandar kekal inklusif serta berdaya huni untuk semua,” katanya.