KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan Sabah sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia bagi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) ke-57 yang akan berlangsung pada September ini.
Timbalan Presiden MATTA, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah berkata, ia susulan Sabah terus memikat pelancong dengan keindahan alam semula jadi yang memukau, kekayaan budaya dan keramahan penduduknya.
"Sabah kekal sebagai pilihan utama pelancong tempatan dan antarabangsa. Pada edisi ke-56 MATTA Fair yang diadakan April lalu, Sabah berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM4.5 juta, meningkat sebanyak 46 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Dengan penyertaan daripada Organisasi Pelancongan Kebangsaan dan Negeri, pameran ini menjanjikan pelbagai pakej pelancongan yang lebih luas meliputi syarikat penerbangan, hotel serta ejen pelancongan dan pengembaraan berlesen, bagi memenuhi minat pengunjung terhadap aktiviti melancong,' katanya ketika sidang akhbar MATTA Fair Kebangsaan ke-57 di sini pada Isnin.
MATTA Fair tersebut dijadual berlangsung pada 5 hingga 7 September di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Pameran pelancongan antarabangsa terbesar yang diadakan dua kali setahun itu kembali dengan rekod baharu iaitu sebanyak 2,040 reruai pameran, mengatasi kejayaan terdahulu yang mencatatkan 1,754 gerai.
Tambah Sheikh Awadh, kebangkitan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap pelancongan autentik, menyeluruh dan bertanggungjawab,.
"Kejayaan ini bukan sahaja diukur melalui angka jualan, tetapi juga bagaimana Sabah mengamalkan pelancongan lestari dan berasaskan komuniti, memberikan pengalaman bermakna kepada pelawat sambil membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
"Kami berbangga mengiktiraf Sabah sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia pada MATTA Fair September ini. Pengiktirafan ini selari dengan Inisiatif Pelancongan Eko & Lestari MATTA (MESTI) yang memperjuangkan pemeliharaan budaya, pemerkasaan komuniti dan kelestarian alam sekitar," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Lembaga Pelancongan Sabah, Bobby Alex berkata, Sabah akan menampilkan tawaran pelancongan yang mematuhi prinsip pelancongan bertanggungjawab dan lestari, membolehkan pengunjung meneroka dengan tujuan sambil menyumbang kepada pemeliharaan warisan serta tradisi tempatan.
Jelasnya, bagi meraikan pengiktirafan tersebut, Lembaga Pelancongan Sabah akan mempersembahkan pelbagai pertunjukan budaya dan pameran interaktif.
Katanya, dengan kerjasama ejen dan pengusaha pelancongan dari Sabah, lembaga itu akan mempromosikan pengalaman pelancongan terpilih yang mencerminkan identiti unik negeri tersebut.
"Kami berbesar hati kerana Sabah sekali lagi diiktiraf sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia di MATTA Fair. Kami menjangkakan bulan September ini akan menjadi tempoh yang sibuk dengan kehadiran pelancong, sambil berhasrat mencapai jualan pakej pelancongan yang tinggi.
"Pengiktirafan ini mencerminkan sokongan padu daripada rakan industri dan pelancong yang terus memilih Sabah kerana kekayaan biodiversiti, warisan budaya serta pengalaman eko-pelancongan yang bermakna,” katanya.
Menurutnya, dua tagline khas diperkenalkan tahun ini iaitu ‘Rasa Malaysia Sebenar, Mari Bah ke Sabah dan ‘Menarik Secara Alami di Luar Dunia’.
Sabah, menurut beliau, memiliki kelebihan dari segi sambungan penerbangan yang baik dengan lebih 30 laluan selain kekayaan budaya, alam semula jadi dan warisan tempatan.
Katanya, antara tarikan utama termasuk Gunung Kinabalu, pantai-pantai indah di Kota Belud, Mabul dan Semporna, serta destinasi bersejarah di Sandakan.
Beliau turut mengumumkan inisiatif mempromosikan lima gunung tertinggi di Malaysia yang kesemuanya terletak di Sabah, iaitu Gunung Kinabalu, Gunung Trusmadi, Gunung Nungkok (Tengduyukuk), Gunung Sinsing dan Gunung Kaingaran.
"Pakej pendakian khas untuk menawan kelima-lima gunung ini akan ditawarkan kepada penggemar aktiviti lasak. Sebelum ini, ada pendaki dari Semenanjung dan Sarawak yang telah berjaya menawan siri gunung seperti Kinabalu, Sinsing dan Kaingaran. Kali ini, kami berharap mereka akan mencabar diri menambah dua gunung lagi, iaitu Trusmadi dan Nungkok.
"Kami berterima kasih kepada pengunjung dari Semenanjung Malaysia yang telah datang dan melawat Sabah. Pasukan kami masih mengekalkan kekuatan utama iaitu Culture (budaya), Aviation (penerbangan) dan Nature (alam semula jadi).
"Kami menjemput semua untuk mengunjungi Pavilion Sabah, anda boleh mendapatkan tawaran pelancongan eksklusif, baucar tunai bagi tempahan lawatan seterusnya atau kali pertama ke Sabah serta meneroka pelancongan budaya dan komuniti secara mendalam melalui paparan VR 360°," katanya.
Ujarnya lagi, pengunjung juga boleh menyertai aktiviti menyeronokkan untuk memenangi pakej pelancongan khas dan barangan bertema Sabah, selain pengumuman pakej baharu yang menarik.
Waktu operasi pameran itu dari jam 10 pagi hingga 9 malam dengan kemasukan secara percuma.
Selain itu, perkhidmatan bas ulang-alik percuma turut disediakan dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC.
Pengunjung yang memandu boleh menggunakan kemudahan parkir di MITEC, MITI Basement dan kawasan parkir terbuka MATRADE.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi MATTA Fair di Facebook, X, TikTok serta Instagram @mattafair.official.