UK bebaskan kira-kira 26,000 banduan secara parol akibat kesesakan penjara

Iklan
Seramai 26,456 pesalah termasuk 23,803 warganegara UK dan 2,613 warga asing telah dibebaskan lebih awal.

 

MOSCOW - Kira-kira 26,500 banduan di United Kingdom (UK) dibebaskan secara parol dalam tempoh tujuh bulan bagi mengurangkan beban sistem penjara negara itu, menurut akhbar Daily Mail yang memetik data Kementerian Kehakiman UK, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Iklan
Iklan

Pada 5 Ogos, kerajaan UK mengeluarkan Kajian Bebas Kapasiti Penjara yang mendedahkan bahawa masalah kesesakan penjara berulang kali hampir tidak dapat dikawal sejak tiga tahun lepas.

Setiausaha Kehakiman UK Shabana Mahmood memperkenalkan program parol pada September. Menjelang akhir Mac, seramai 26,456 pesalah termasuk 23,803 warganegara UK dan 2,613 warga asing telah dibebaskan lebih awal, lapor akhbar itu.

Iklan

Daripada jumlah itu, kira-kira 250 orang pada mulanya dijatuhi hukuman penjara 14 tahun atau lebih namun tetap dibebaskan secara parol walaupun kesalahan yang dilakukan adalah berat.

Selain itu, seramai 490 daripada pesalah yang dibebaskan telah dijatuhi hukuman antara 10 hingga 14 tahun dan kira-kira 1,000 lagi menerima hukuman antara 7 hingga 10 tahun.

Iklan

Dengan purata 3,500 banduan dibebaskan setiap bulan, unjuran Daily Mail menunjukkan bahawa hampir 45,000 pesalah boleh dibebaskan secara parol menjelang akhir tahun pertama program itu.

Pada Ahad, pihak berkuasa UK mengumumkan rancangan untuk mula mengusir penjenayah asing sejurus selepas hukuman dijatuhkan.

Sebelum ini, mereka perlu menjalani 50 peratus daripada tempoh hukuman penjara di United Kingdom. Pada Jun, had itu telah dikurangkan kepada 30 peratus.

Jumlah banduan di England dan Wales telah mencapai paras tertinggi sejak 2011, susulan rusuhan anti-imigran pada Julai dan Ogos.

Sejak awal 2023, penjara lelaki lazimnya beroperasi pada kapasiti 99 peratus, menurut data kementerian. - Bernama