PETALING JAYA – Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah menafikan sekeras-kerasnya kewujudan sebuah akaun TikTok palsu yang menggunakan nama dan imej beliau bagi mengelirukan orang ramai.
Beliau berkata, akaun berkenaan yang menggunakan nama @datok_drfattah dikesan memuat naik kandungan video berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) menyerupai wajahnya sambil menyampaikan mesej mengenai ‘berkongsi rezeki’ dan ‘bantuan kepada orang ramai’ melalui pautan WhatsApp yang diletakkan pada bahagian profil.
"Segala mesej atau tawaran yang disampaikan adalah palsu dan berunsur penipuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pautan WhatsApp yang dikongsi akaun tersebut, tidak memberikan sebarang maklumat peribadi atau kewangan, selain segera melaporkannya kepada pihak TikTok untuk tindakan lanjut.
Menurut Abdul Fattah, beliau hanya mempunyai satu akaun rasmi TikTok dengan nama pengguna @datukseridrfattah.
Katanya, penyalahgunaan nama dan imej itu dipandang serius kerana ia bukan sahaja mengelirukan masyarakat malah berpotensi menjejaskan reputasi beliau dan Angkasa.
“Sehubungan itu, saya telah mengambil langkah sewajarnya termasuk membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya pada 3 Ogos lalu,” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan siber yang semakin licik termasuk penggunaan teknologi AI untuk memalsukan suara dan wajah tokoh-tokoh ternama.
Jelasnya, kesedaran dan kerjasama semua pihak adalah kunci dalam mencegah kerugian dan memastikan keselamatan maklumat peribadi.
“Orang ramai dan anggota koperasi dinasihatkan hanya merujuk kepada saluran komunikasi rasmi Angkasa untuk mendapatkan sebarang maklumat, pengumuman atau kenyataan daripada Presiden atau pihak pengurusan tertinggi,” katanya.
Maklumat rasmi hanya disalurkan melalui laman sesawang rasmi Angkasa, akaun media sosial rasmi serta siaran media yang disahkan menerusi akaun berikut: Laman web rasmi www.angkasa.coop, Facebook: @ANGKASACoop, X: @ANGKASACoop, YouTube: @ANGKASACoop, TikTok: @ANGKASACoop dan LinkedIn: @ANGKASACoop.
ends