KUALA TERENGGANU – Bekas Bendahari Kesatuan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) Cawangan Terengganu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menggunakan dokumen bank palsu sebagai tulen.
Tertuduh, Jafri Wahab, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan penyata akaun Public Islamic Bank milik Anulae Cawangan Terengganu bagi tahun 2019 hingga 2020 sebagai dokumen tulen.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal, tertuduh berdepan penjara tiga bulan bagi setiap kesalahan.
Sebelum itu, pihak pendakwaan memaklumkan tertuduh turut berdepan 11 lagi pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan wang Tabung Kebajikan Anulae Cawangan Terengganu berjumlah RM29,200 bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 untuk kegunaan sendiri.
Bagaimanapun, kesemua pertuduhan itu diputuskan sebagai 'Take Into Consideration' (TIC) mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee bersama Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob dan Pegawai Pendakwa Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Asaari Salleh.