SUNGAI PETANI – Enam individu termasuk aktivis badan bukan kerajaan (NGO) didenda RM1,500 setiap seorang selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan bermain judi pakau di tepi jalan di Bandar Laguna Merbok bulan lalu.
Kesemua tertuduh ialah Ch'ng Lye Beng, 83; Tiw Soo Chea, 48; Loh Hai Thang, 60; Lam Sin Taik, 60; Saw Boon Seong, 53; dan Ang Luck Hup, 53, yang membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi pada Isnin.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didapati sedang bermain judi jenis pakau dengan wang sebagai taruhan.
Perbuatan itu dilakukan pada kira-kira jam 10.40 malam di tepi jalan berhampiran sebuah lorong di Bandar Laguna Merbok pada 10 Julai lalu.
Oleh itu, kesemua mereka telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamaruzzaman, dan kesemua tertuduh diwakili Peguam Nagarathinam Natesan.
Dalam pembelaan, Nagarathinam merayu agar salah seorang anak guamnya, Ang Luck Hup, yang merupakan aktivis dan aktif dalam beberapa pertubuhan, dikenakan hukuman denda kurang daripada RM2,000 agar tidak menjejaskan aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan. Sementara tertuduh lain merupakan peniaga kecil-kecilan, pekerja kilang, dan tiada pendapatan tetap.
Majistret Muhammad Syaiful Akmal bagaimanapun menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 seorang, dan jika gagal, mereka akan dikenakan 14 hari penjara.
Kesemua mereka telah membayar wang jaminan terbabit.