JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang meneliti tenaga nuklear sebagai antara pilihan baharu bagi penjanaan elektrik negara yang lebih bersih, stabil dan kompetitif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu sejajar dengan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Penilaian itu penting bagi mempelbagaikan sumber tenaga, mengukuhkan keselamatan tenaga jangka panjang serta menyokong sasaran pengurangan pelepasan karbon negara.
“MyPOWER Corporation sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) diberi tanggungjawab menyelaras persediaan mengikut panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), membabitkan kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan pendekatan nasional yang bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan ASEANTOM ke-12 di sini pada Isnin.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta menggesa negara pemilik senjata nuklear menandatangani dan meratifikasi protokol berkenaan tanpa berlengah.
Pada majlis sama, beliau melancarkan Stesen Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) yang akan dipasang di beberapa perairan negara bagi memantau tahap radiasi dalam sumber air secara proaktif, membolehkan tindakan pantas diambil terhadap sebarang ancaman radiologi demi keselamatan komuniti.