KULAI – Dua ekor gajah jantan liar berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor di Kampung Sawah, Sedenak pada Ahad.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, operasi tangkapan itu dilakukan susulan aduan penduduk berhubung kehadiran kumpulan gajah yang kerap memasuki kawasan kampung sejak beberapa minggu lalu.
"Operasi bermula pada Sabtu melibatkan kawasan Kampung Air Manis, Kampung Desa Idaman, Kampung Bukit Batu, Kampung Sri Sempurna, Kampung Bukit Nyamuk, Kampung Pinggir, Ladang Air Manis dan sekitarnya.
“Gajah pertama berukuran 12 inci tapak kaki hadapan ditangkap pada jam 10.30 pagi, manakala gajah kedua berukuran 13 inci tapak kaki hadapan ditangkap lima minit kemudian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kedua-dua gajah dewasa itu merupakan sebahagian daripada kumpulan utama dikenali sebagai ID Tenggara yang sebelum ini tular apabila dikesan di Sedenak, Simpang Renggam dan sempadan Pontian.
"Kumpulan gajah berkenaan juga pernah dilihat di sekitar landasan kereta api Mengkibol dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), sekali gus menimbulkan risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya serta operasi tren.
“Tangkapan dibuat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kepada orang awam dan haiwan itu sendiri.
"Perhilitan Johor akan terus memantau keadaan gajah sehingga proses pemindahan ke habitat lebih sesuai selesai,” katanya.