RAWANG – Dua lelaki cedera dalam dua insiden berasingan ketika melakukan beriadah di Air Terjun Taman Eko Rimba Kanching di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.25 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba pada jam 12.35 tengah hari, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki berusia 19 tahun cedera di bahu dan tulang rusuk kiri ketika mandi di kawasan air terjun pada ketinggian tingkat empat.
"Mangsa pertama berkenaan ditemui pada jam 1.30 petang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, ketika operasi menyelamat mangsa pertama dijalankan, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang lagi lelaki cedera di kawasan tingkat tujuh air terjun berkenaan.
"Mangsa kedua berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan di kaki dan pendarahan di kepala.
Menurutnya, lelaki itu ditemui pada jam 2 petang sebelum dibawa turun dengan selamat.
"Semakan mendapati kedua-dua mangsa itu tidak mengenali antara satu sama lain," katanya.
Jelasnya, kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
"Operasi melibatkan seramai 16 anggota bersama dua jentera itu kemudian tamat sepenuhnya pada jam 2.20 petang," katanya.