JOHOR BAHRU – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes membabitkan pelajar, Zara Qairina Mahathir, 13, yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ia bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan polis.
“Kita dapat lihat banyak hantaran media sosial yang mungkin mengandungi fakta belum disahkan. Jadi biarlah Polis Diraja Malaysia (PDRM), jalankan kerja mereka tanpa gangguan,” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Geran Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Nie Ching memberitahu setakat ini pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai jumlah aduan atau hantaran media sosial yang telah diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
“Saya juga minta maaf kerana setakat ini saya tidak ada jumlah aduan atau hantaran yang telah diturunkan.
“Seperti yang disebutkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Sabtu, beliau menggesa pengguna internet supaya bertanggungjawab atas apa yang dikongsikan,” katanya.
Kes kematian Zara Qairina sebelum ini tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang turut mendesak pihak berkuasa menyiasat semula kes berkenaan kerana didakwa mempunyai unsur buli.
Sementara itu, Nie Ching turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memasang bendera Jalur Gemilang bagi mengelakkan kesilapan sebagaimana yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
“Walaupun saya tak ada laporan terperinci, tapi boleh tahu dari media sosial pun banyak nampak. Ahli-ahli politik pun banyak yang 'gaduh' tentang isu ini.
“Apabila kita nak kibarkan Jalur Gemilang, mestilah perlu berhati-hati kerana ini adalah bulan kemerdekaan, bukan bulan untuk kita bergaduh," katanya.