Kanak-kanak lelaki maut disyaki didera bapa kandung, ibu tiri

Iklan
Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Ahad bagi mendapatkan perintah reman.

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan maut dipercayai didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya dalam kejadian di Kampung Banggol, Manir di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.05 petang, Sabtu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian terbongkar apabila seorang pegawai perubatan di Zon Merah HSNZ menerima pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6 Ogos lalu kira-kira jam 1 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada badan, muka dan leher mangsa.

Iklan

“Berdasarkan hasil bedah siasat, mangsa didapati meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala berpunca daripada hentakan objek tumpul,” katanya di sini pada Ahad.

Bapa dan ibu tiri mangsa direman selama tujuh hari bermula Ahad bagi membantu siasatan.

Iklan

Beliau berkata, mangsa sebelum ini aktif dan boleh berjalan, namun siasatan awal mendapati suspek pertama iaitu bapa kandung mangsa berusia 27 tahun, dan suspek kedua iaitu ibu tiri berusia 30 tahun mengaku pernah memukul mangsa menggunakan penyangkut baju berwarna hitam di bahagian betis.

“Sehari sebelum kejadian, mangsa dipercayai jatuh selepas memanjat pagar penyekat pintu bilik namun kembali aktif seperti biasa.

“Pada pagi kejadian 6 Ogos lalu, bapa mangsa keluar rumah meninggalkan mangsa bersama ibu tiri dan seorang lagi anak mereka. Ketika pulang sekitar jam 11 pagi, mangsa didapati sedang tidur.

“Sekitar jam 12 tengah hari, bapa cuba mengejutkan mangsa untuk diberi susu namun mendapati badan mangsa lembik. Suspek kemudian mengurut leher mangsa dengan alasan mengurut urat sawan, tetapi perbuatan itu menyebabkan kesan lebam di leher,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa oleh suspek ke Klinik Kesihatan Manir sebelum dirujuk ke HSNZ.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami pelbagai kesan lebam, luka melecet serta kecederaan otak yang dipercayai bukan berpunca daripada kemalangan.

“Selain itu, terdapat kesan lebam lama dan baharu pada betis mangsa,” katanya.

Azli berkata, polis merampas satu penyangkut baju berwarna hitam yang dipercayai digunakan dalam kes itu.

“Suspek ditahan pada jam 10 malam selepas selesai pengurusan jenazah anaknya di Pusat Pengurusan Jenazah, Rhu Muda, Marang.

“Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, anak sulung pasangan itu yang berusia tiga tahun telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat sementara waktu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan penderaan kanak-kanak.