Warga asing pandu kereta mewah guna lesen palsu

Iklan
Kenderaan mewah dipandu lelaki terbabit disita untuk tindakan selanjutnya.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga asing memandu kereta mewah menggunakan lesen memandu palsu terbongkar dalam Ops Luxury 3.0 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekitar ibu kota baru-baru ini.

Individu terbabit ditahan kerana memandu melebihi had laju dari arah Kuantan menuju ke ibu negara di sekitar Gombak.

Iklan
Iklan

Ketika pemeriksaan, individu berkenaan mengemukakan lesen memandu yang disyaki palsu dan hasil semakan lanjut mengesahkan dokumen itu tidak sah.

Dia dipercayai menggunakan dokumen palsu tersebut sejak setahun lalu selain mendakwa kenderaan mewah yang dipandunya adalah milik rakannya.

Iklan

Muhammad Kifli menunjukkan lesen memandu palsu yang digunakan lelaki warga asing berkenaan yang diberkas ketika Ops Luxury 3.0 di sekitar ibu negara baru-baru ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya menahan sebanyak 104 kenderaan mewah pelbagai jenama dalam operasi yang dijalankan sejak Khamis lalu.

Iklan

Menurutnya, operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap kenderaan mewah yang dipandu oleh warga tempatan dan warga asing.

"Seramai 12 warga asing dikesan memandu kenderaan mewah, sembilan daripadanya melakukan pelbagai kesalahan.

"Antaranya, menggunakan lesen memandu palsu, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, serta pelbagai kesalahan lain," katanya pada sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur pada Sabtu.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud sindiket menjual dokumen palsu berkenaan.

"Siasatan terperinci akan dijalankan dan tidak mustahil operasi seterusnya akan menjurus kepada pembongkaran sindiket ini.

"Kes ini membuktikan ada warga asing yang sewenang-wenangnya mencabar undang-undang Malaysia dengan memandu kereta mewah tanpa mematuhi peraturan,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, kebanyakan kenderaan yang ditahan bernilai lebih RM500,000 dan majoriti pemandu berasal dari Asia Selatan.

"Mereka memberi pelbagai alasan, kononnya terlupa memperbaharui cukai jalan atau mendakwa kenderaan milik rakan atau saudara mara," katanya.

Beliau menjelaskan, JPJ akan memperhebatkan operasi bersepadu bersama agensi lain bagi memastikan warga asing tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang.

"Insya-ALLAH, selepas ini JPJ akan mempergiatkan operasi bersepadu bersama agensi lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia.

"Isnin ini, saya akan mengangkat kertas cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lebih drastik terhadap kesalahan ini," katanya.

Beliau berkata, rekod menunjukkan kebanyakan pemilik akan segera memperbaharui cukai jalan dan insurans sebaik sahaja kenderaan mereka disita.

"Jenis kenderaan yang ditahan kali ini berbeza dengan operasi sebelum ini. Ia bukan kesalahan berulang, tetapi dilakukan pelaku berbeza," katanya.