KUALA LUMPUR – Selebriti tanah air antara beberapa individu yang berada dalam radar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung isu kegagalan memperbaharui cukai jalan kenderaan mewah milik mereka.
Selain itu, JPJ turut mengenal pasti beberapa individu lain terdiri daripada pempengaruh dan ahli perniagaan.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, hasil risikan terbaharu mendapati beberapa individu berkenaan termasuk dalam senarai pemilik kenderaan yang dipercayai telah tamat tempoh cukai jalan.
"Risikan yang dijalankan setakat ini mendapati kenderaan milik mereka tidak digunakan di jalan raya.
"Bagaimanapun, sekiranya kenderaan terbabit dikesan dipandu tanpa cukai jalan yang sah, tindakan tegas akan diambil," katanya pada sidang media di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur pada Sabtu.
Katanya, pemantauan terhadap golongan berstatus itu bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak.
"Perlu diingat bahawa JPJ bukan mahu mencari salah, namun mahu setiap individu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Kewajipan mematuhi undang-undang adalah sama untuk semua, tiada pengecualian," katanya.
Terdahulu, statistik Ops Luxury sejak 1 Julai lalu mencatatkan sebanyak 258 kenderaan mewah pelbagai jenama telah disita.
Statistik turut merekodkan Kuala Lumpur sebagai negeri tertinggi dengan 93 buah, diikuti Selangor (61), Pulau Pinang (28), Sarawak (16), Kelantan (15) serta lain-lain negeri.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah, mempamerkan nombor pendaftaran belum berdaftar, serta pelbagai kesalahan teknikal lain.