Jasad Zara Qairina jalani proses 'CT scan' sebaik tiba di hospital

Iklan
Jasad Zara Qairina menjalani imbasan CT sebelum bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) pada pagi Ahad. (Gambar kecil: Zara Qairina)

KOTA KINABALU - Proses imbasan tomografi berkomputer (CT scan) dijalankan malam tadi terhadap jasad Zara Qairina Mahathir, 13, selepas proses menggali semula kubur dilakukan pada petang Sabtu.

Peguam Hamid Ismail, yang mewakili Noraidah Lamat, 45, iaitu ibu kepada Zara Qairina, memaklumkan sebaik jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), proses seterusnya dijalankan sebelum bedah siasat dilakukan keesokan harinya.

Iklan
Iklan

“Malam ini mereka akan membuat imbasan CT, kemudian pada esok pagi bedah siasat akan dibuat pada jam 9 pagi.

“Jadi, terpulang kepada pakar bedah nanti (bila keputusan bedah siasat diperoleh),” katanya ketika dipetik dalam berita Awani pada malam Sabtu.

Iklan

Mengulas cabaran semasa proses penggalian semula kubur, Hamid berkata, walaupun hujan, semuanya berjalan lancar.

“Memang hujan lebat, tetapi sebelum proses penggalian bermula, hujan telah mulai renyai-renyai dan keadaan jadi sangat baik. Tidak ada masalah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Iklan

Berhubung harapan terhadap hasil laporan bedah siasat, beliau yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan melaksanakan tugas dengan baik.

“Kami yakin dengan pihak polis, pihak AGC, kami yakin mereka akan membuat kerja yang baik. Cuma kes ini bermula dengan kelemahan atau kesilapan di bahagian awal iaitu bedah siasat tidak dilakukan, pakaian tidak diambil.

“Di sana kesilapan, tetapi saya lihat pihak polis pun bekerjasama baik dengan kami dan saya yakin keadilan akan dapat ditegakkan bagi adik Zara,” ujarnya.