SHAH ALAM - Rancangan lima prinsip penjajahan penuh ke atas Gaza oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bercanggah dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva dan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pemindahan paksa sehingga sejuta penduduk Gaza merupakan satu bentuk pembersihan etnik yang mengulangi Tragedi Nakba 1948.
“Apa yang lebih membimbangkan, rancangan ini diumumkan ketika Netanyahu sedang berdepan perbicaraan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“ABIM melihat tindakan ini sebagai helah untuk mengalihkan perhatian rakyat Israel daripada krisis politik dan undang-undang yang sedang dihadapinya, sambil berusaha mengukuhkan kedudukannya melalui agenda ketenteraan yang melampau,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Netanyahu dilaporkan telah membuat keputusan untuk melancarkan pendudukan sepenuhnya di Semenanjung Gaza, sekali gus memperluaskan operasi ketenteraan di wilayah bergolak itu.
Memetik laporan akhbar harian Yedioth Ahronoth pada Isnin malam, seorang pegawai kanan yang rapat dengan Netanyahu dipetik sebagai berkata: “Keputusan telah dibuat — kami akan melaksanakan pendudukan penuh Gaza. Operasi akan diteruskan termasuk di kawasan yang dipercayai menempatkan tebusan. Jika Ketua Staf Angkatan Tentera Israel (IDF) tidak bersetuju, beliau harus meletak jawatan.”
Tambah Ahmad Fahmi, ABIM mengecam sekeras-kerasnya keputusan Kabinet Keselamatan Israel yang dipengerusikan Netanyahu pada Jumaat untuk melaksanakan rancangan lima prinsip bagi menduduki Bandar Gaza.
Ujarnya, rancangan itu merupakan pelan penjajahan penuh yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, selain memperlihatkan motif politik peribadi yang amat membimbangkan.
“Lima prinsip yang diumumkan Netanyahu merangkumi usaha menghapuskan kekuatan ketenteraan Hamas, memulangkan semua tebusan, melumpuhkan sepenuhnya keupayaan pertahanan Gaza, mengekalkan kawalan keselamatan penuh Israel ke atas wilayah tersebut dan menubuhkan pentadbiran sivil baharu yang menyingkirkan Hamas serta Pihak Berkuasa Palestin.
“Jelas sekali rancangan ini bukan pelan perdamaian, sebaliknya strategi pendudukan ketenteraan terancang untuk memastikan Gaza kekal lemah dan berada di bawah kawalan mutlak Israel,” katanya.
Menurutnya, rancangan tersebut turut menerima tentangan daripada rakyat Israel sendiri.
Jelasnya, keluarga para tebusan dan pegawai kanan tentera termasuk Ketua Staf Israel Defence Forces (IDF) memberi amaran bahawa operasi terbabit akan mengancam nyawa tebusan dan membebankan angkatan bersenjata.
“Di peringkat antarabangsa, gelombang kecaman semakin meningkat. Jerman telah menghentikan eksport senjata ke Israel sebagai tanda penolakan terhadap langkah ini, manakala United Kingdom, Perancis dan Arab Saudi turut menyatakan kebimbangan mendalam mengenai kesan kemanusiaan yang bakal berlaku.
“ABIM melihat rancangan ini sebagai percubaan mengulangi strategi 1967 tetapi dalam konteks dunia yang telah berubah.
“Dunia kini berada dalam era maklumat segera, kesedaran hak asasi manusia yang lebih meluas dan kewujudan mekanisme undang-undang antarabangsa yang aktif. Israel berisiko berdepan tekanan diplomatik, ekonomi dan reputasi yang lebih hebat sekiranya meneruskan agenda ini,” katanya.
Ujar Ahmad Fahmi, ABIM menggesa Kerajaan Malaysia untuk kekal konsisten menolak sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Israel, meningkatkan tekanan diplomatik melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan blok Selatan Global serta mendesak tindakan segera di Majlis Keselamatan PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Katanya lagi, ABIM turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengenakan sekatan ekonomi, politik dan ketenteraan terhadap Israel, serta mengajak masyarakat sivil di seluruh dunia menggandakan kempen solidariti termasuk boikot, pelaburan dan sekatan (BDS) sebagai tekanan berterusan terhadap rejim Zionis.
“ABIM berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan menegaskan bahawa keamanan sejati hanya akan dapat dicapai apabila penjajahan ditamatkan, hak rakyat Palestin dikembalikan dan keadilan ditegakkan tanpa sebarang kompromi,” katanya.