KUALA LUMPUR - Seramai empat lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan melombong emas secara haram di Jeli, Kelantan pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan pada jam 2 pagi itu hasil risikan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kota Bharu, Kelantan.
"Operasi Bersepadu Khazanah itu dilaksanakan di kawasan sawit Ladang Tapis, Bukit Jering, Jeli.
"Kesemua suspek yang ditahan itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta lesen perlombongan yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Azmi berkata, dua unit ekskavator, dua unit mesin pam penyedut berserta hos, dua unit palong melombong, anak kunci jentera dan peralatan berkaitan dirampas membabitkan nilai sitaan RM1,010,014.00
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Kanun Tanah Negara 1965.
"Operasi ini adalah contoh pendekatan reform iaitu penguatkuasaan yang lebih bersepadu dan berimpak tinggi dengan penglibatan pelbagai agensi bagi membanteras aktiviti melombong haram yang mengancam sumber khazanah negara," katanya.
Beliau berkata, PSP Bukit Aman akan terus menjalankan operasi strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti pencerobohan dan penerokaan haram dapat dibanteras secara berterusan demi keselamatan, kedaulatan serta kelestarian alam sekitar negara.