NEW DELHI – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan detik ngeri pembunuhan Asif Qureshi, sepupu kepada pelakon Bollywood terkenal, Huma Qureshi, yang berlaku lewat malam Khamis di Lorong Bhogal Bazar, Jangpura, dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Nizamuddin, Delhi.
Dalam rakaman itu, Asif kelihatan bertengkar hebat dengan dua penyerang, manakala beberapa orang awam cuba menenangkan keadaan.
Detik berikutnya menunjukkan suspek menolak mangsa ke tanah sebelum menikamnya berkali-kali menggunakan objek tajam.
Menurut polis, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam waktu tempatan apabila Asif meminta suspek mengalihkan skuter yang diletakkan di hadapan pintu pagar rumahnya.
Pertengkaran mulut bertukar menjadi pergaduhan fizikal sebelum mangsa diserang.
Mangsa dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba.
Ahli keluarga mangsa mendakwa kedua-dua suspek pernah berselisih faham dengan Asif sebelum ini berhubung isu tempat letak kenderaan.
Pada malam kejadian, mereka sekali lagi menyerang mangsa dengan senjata tajam hanya kerana pertikaian kecil.
“Dua lelaki meletakkan skuter di depan rumah. Asif meminta mereka mengalihkannya kerana menghalang pintu masuk. Mereka bertengkar dan akhirnya kedua-duanya membunuh anak saudara saya,” kata bapa saudara mangsa, Saleem Qureshi, yang juga bapa kepada Huma Qureshi.
Polis mengesahkan dua beradik, Gautam dan Ujjwal telah ditahan, dengan Ujjwal didakwa memulakan serangan.
Kejadian itu mengejutkan jiran dan ahli keluarga yang menuntut keadilan segera untuk mangsa.
Polis telah membuka kertas siasatan di bawah kesalahan membunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan. – Agensi