SHAH ALAM - Stesen penyiaran awam milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi penyiar rasmi bagi penganjuran Malaysia #QuranHour 2025 yang bakal berlangsung pada 30 Ogos ini.
Ketua Penolong Pengarah Unit Majalah dan Dokumentari (Bahagian Program TV) RTM, Wan Lukman Mohamed Fisol berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menyiarkan program berkenaan secara langsung di kaca televisyen.
Menurutnya, ia bukan kali pertama RTM menjadi penyiar utama bagi program di bawah siri gerakan #QuranHour dan kali ini pihaknya menjanjikan perkongsian komprehensif menerusi televisyen serta platform mudah alih iaitu RTMKlik.
"Saya berpendapat, ini boleh jadi perkongsian yang sangat bagus dan kita dapat menyebarluaskan tentang gerakan Malaysia #QuranHour 2025.
"Dari segi kelainan itu ada iaitu kita adakan tayangan secara langsung bukan sahaja di Malaysia, bahkan seluruh dunia boleh tengok melalui RTMKlik.
"Sesiapa pun yang melihat hebahan di televisyen atau media sosial boleh tonton di situ (RTMKlik) dan kita harap ia dapat memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Taklimat Sinergi Media sempena Malaysia #QuranHour 2025 di Studio My #QuranTime (MQT), di sini pada Jumaat.
Malaysia #QuranHour 2025 akan diadakan serentak di seluruh negara dan bersiaran langsung dari lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Bahagian Media Baharu Institut Kefahaman Islam Malaysia FM (IKIM FM), Norhayati Paradi memberitahu, ini merupakan tahun ke-11 pihaknya berkolaborasi dan terlibat sama dalam menjayakan gerakan Malaysia #QuranHour.
Jelas Norhayati, gerakan Malaysia #QuranHour yang unik dan memiliki tema berbeza setiap tahun cukup meninggalkan memori terindah buat IKIM FM sepanjang penglibatan lebih sedekad itu.
"Diam tak diam, rupanya dah 11 tahun kami setia bersama gerakan #QuranHour dan terima kasih tidak terhingga kami ucapkan kerana kempen ini bukan sahaja terkenal di pentas Malaysia, malah di seluruh dunia.
"Alhamdulillah masih istiqamah menjadi sebahagian daripada keluarga Malaysia #QuranHour dan tahun ini pula, kami akan menyampaikan 'rasa' kepada semua untuk kita merasai al-Quran dalam diri masing-masing.
"Tak dapat saya pilih tahun mana yang terbaik kerana semuanya baik-baik belaka. Apabila kita kaitkan dengan al-Quran, ia seakan-akan memberi satu rasa yang kita tak boleh dapat atau bawa ke mana-mana," ujar beliau lagi.
Pengurus Penjenamaan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berpandangan, program yang bermanfaat seperti Malaysia #QuranHour wajar dijadikan satu kelaziman terutamanya stesen radio.
“Ia menjadi peluang untuk kita mendekati pendengar secara santai dan berhemah melalui pengisian rohani, hasil kerjasama erat dengan pelbagai pihak terutamanya WUIF yang konsisten dan istiqamah menjayakan program ini bersama rakan-rakan media.
“Saya tidak akan melepaskan peluang ini. Bertemakan Merdeka Dengan Rasa kali ini, Zayan akan terus bekerjasama menjayakannya dan sokong hingga ke syurga,” katanya.
Misi #ResetRasa yang dibawa merupakan satu bentuk seruan kepada masyarakat agar kembali menyemak arah perjuangan dan sensitiviti terhadap penderitaan di sekeliling misalnya melalui surah al-Saff ayat 14, memperlihatkan peranan empat golongan utama iaitu pemimpin, pembina dasar, penjawat awam serta rakyat dalam membantu membentuk saf kukuh dengan rasa, sabar dan kasih sayang.
Selain RTM, IKIM FM dan Zayan, Malaysia #QuranHour 2025 turut menerima penyertaan sinergi media lain seperti Sinar Harian, Astro AWANI, Astro OASIS, TV Alhijrah, TV9, Bernama, Media Prima Berhad, Nu Ideaktiv, Denaihati Network serta Santai Travel.
Malaysia #QuranHour 2025 juga dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mendapat kerjasama pelbagai organisasi termasuk Sekretariat Merdeka, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam (MPAM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Rumah Ngaji dan Sahabah al-Quran dalam serta luar negara.