Pendekatan ‘Ahassa’ landasan Malaysia #QuranHour 2025

Iklan
Marhaini.

SHAH ALAM - Pendekatan ‘Ahassa’ atau rasa empati mendalam menjadi teras utama penganjuran Malaysia #QuranHour 1447H/2025 yang kini memasuki tahun ke-11 dengan tema besar ‘Merdeka dengan Rasa’.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff berkata, penganjurannya berpandukan tiga surah utama iaitu Surah al-Saff, Surah al-Balad dan Surah Ali Imran.

Iklan
Iklan

"Penganjuran kali ini menekankan pendekatan 'Ahassa', ia berpandukan nilai daripada kisah para Hawariyyun dan realiti lorong penderitaan dalam Surah al-Balad.

"Kita mahu melahirkan lebih ramai 'Saidina Umar moden' iaitu pemimpin berempati yang bukan sekadar melihat derita rakyat tetapi hadir dengan tindakan dan rahmah," katanya selepas Majlis Taklimat Sinergi Media di Studio My #QuranTime di sini pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Malaysia #QuranHour tahun ini akan berlangsung pada 30 Ogos dari jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari dengan lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan turut dilaksanakan serentak di seluruh negara.

Iklan

Sebagai penyiar utama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan program itu secara langsung bersama sinergi media lain seperti Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.

Dalam pada itu Marhaini berkata, inisiatif tersebut digerakkan secara sinergi oleh pelbagai agensi media dan rakan strategik serta sokongan baharu daripada Sekretariat Merdeka bagi menjadikan al-Quran sebagai panduan membina negara berperadaban tinggi.

"Kolaborasi bersama Sekretariat Merdeka memberi nafas baharu kepada kempen tersebut dalam usaha memerdekakan manusia daripada penindasan sesama manusia kepada penyembahan tulus kepada ALLAH SWT.

“Malaysia #QuranHour 2025 membawa misi #ResetRasa iaitu satu seruan untuk semua golongan masyarakat agar kembali menyemak arah perjuangan dan meningkatkan sensitiviti terhadap penderitaan di sekeliling.

“Surah al-Saff khususnya ayat 14 memperlihatkan peranan empat golongan utama iaitu pemimpin, pembina dasar, penjawat awam dan rakyat untuk membentuk saf kukuh dengan rasa, sabar dan kasih sayang,” katanya.

Beliau berkata, tema ‘Merdeka dengan Rasa’ menyeru masyarakat membebaskan diri daripada keangkuhan dan ketidakadilan ke arah pembentukan masyarakat yang adil, berihsan dan saling menyantuni.

“Malaysia #QuranHour bukan sekadar kempen membaca al-Quran tetapi satu gerakan nilai yang menyeru rakyat merasai, menyahut dan bertindak berpaksikan ALLAH SWT sebagai pusat perjuangan,” katanya.

Program itu dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mendapat kerjasama daripada Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia (MPAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Rumah Ngaji serta rangkaian Sahabah al-Quran di dalam dan luar negara.