SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour 2025 yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya bakal mengetengahkan misi #ResetRasa selari tema besar iaitu 'Merdeka Dengan Rasa' berpandukan tiga surah utama seperti Surah al-Saff, Surah al-Balad dan Surah Ali' Imran.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, strategi dalam menyebarluas gerakan Malaysia #QuranHour kali ini perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan iaitu menerusi 'content' atau kandungan video bagi menarik perhatian masyarakat tidak kira orang lama mahupun generasi baharu.
Menurut penasihat Kumpulan Karangkraf tersebut, ia antara naratif yang mesti ditekankan oleh agensi media terlibat selain daripada hanya memperkenal atau menyiarkan acara Malaysia #QuranHour dan gerakan kempen lain.
Jelas beliau, media memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat meskipun cabaran semasa menjadi semakin sukar dek kerana pemahaman dan penerimaan setiap individu terhadap sesuatu isu berbeza-beza sehingga membawa kepada konflik perpecahan.
"Memasuki tahun ke-11, memang betul kita mahu promosi penganjuran Malaysia #QuranHour 2025 tetapi dalam masa sama naratif di semua media terlibat selepas ini adalah 'content'.
"Content dan mesej sepatutnya menjadi tarikan menjelang Malaysia #QuranHour 2025. Walaupun sudah memasuki lebih sedekad kita lakukan ini bersama-sama di samping memperkenalkan tema berbeza setiap tahun, kita tidak terlalu menekankan tentang konten.
"Justeru, saya berharap gelombang Malaysia #QuranHour semakin besar dan kita dapat menyampaikan maklumat lebih terperinci mengenai Malaysia #QuranHour tahun ini menerusi platform media masing-masing tidak kira media sosial, penulisan di akhbar, hebahan di televisyen mahupun radio," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Taklimat Sinergi Media sempena Malaysia #QuranHour 2025 di Studio My #QuranTime (MQT), di sini pada Jumaat.
Malaysia #QuranHour 2025 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini dan bersiaran langsung dari lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.
Misi #ResetRasa yang dibawa merupakan satu bentuk seruan kepada masyarakat agar kembali menyemak arah perjuangan dan sensitiviti terhadap penderitaan di sekeliling misalnya melalui surah al-Saff ayat 14, memperlihatkan peranan empat golongan utama iaitu pemimpin, pembina dasar, penjawat awam serta rakyat dalam membantu membentuk saf kukuh dengan rasa, sabar dan kasih sayang.
Kempen Malaysia #QuranHour 2025 disokong oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi, diikuti penyertaan sinergi media seperti Sinar Harian, Astro Awani, Astro Oasis, TV Alhijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia FM (IKIM FM) dan TV IKIM, TV9, Bernama, Media Prima Berhad, Nu Ideaktiv, Zayan FM, Denaihati Network serta Santai Travel.
Malaysia #QuranHour 2025 juga dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mendapat kerjasama pelbagai organisasi termasuk Sekretariat Merdeka, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam (MPAM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Rumah Ngaji dan Sahabah al-Quran dalam serta luar negara.