'Datanglah ke Jelai, tengok sendiri pembangunan’ – Wan Rosdy

Iklan
Wan Rosdy merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Sri Damai dan majlis pelancaran PR1MA Pahang Pandan dan Sungai Soi sini pada Jumaat.

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengalu-alukan kehadiran pembangkang yang akan menganjurkan program Hogoh Jelai: Himpunan 30K Jentera Pas Pahang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Menurut beliau, penganjur dan peserta boleh mengambil peluang untuk melihat sendiri pembangunan yang telah dilaksanakan di kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

“Saya mengalu-alukan kehadiran mereka untuk datang ke Jelai supaya mereka boleh melihat pembangunan di Jelai termasuk masjid, stesen bas di Jelai macam mana dan gerai-gerai yang telah dibangunkan di situ.

“Mereka juga boleh pergi meninjau projek ekonomi Agropolitan Gahai dan boleh datang ke kampung saya di Tanjung Gahai yang pernah dinobatkan sebagai kampung lestari terbaik di peringkat negeri, selain mendapat johan di peringkat kebangsaan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Sri Damai dan majlis pelancaran PR1MA Pahang Pandan dan Sungai Soi, sini pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Pas yang akan menganjurkan program besar-besaran Hogoh Jelai yang dijangka berlangsung pada Oktober depan.

Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu menjelaskan, masih banyak pembangunan yang boleh dilihat di kawasan tersebut dan kehadiran ribuan orang pada program berkenaan turut memberi manfaat kepada peniaga tempatan.

Beliau juga berharap pada hari tersebut kedai-kedai di kawazan Jelai dapat menyediakan makanan yang sedap-sedap untuk menjamu mereka.

“Dalam masa sama, kalau boleh, mereka boleh pergi melihat galeri saya (iaitu) Galeri MB dan di dalam galeri tersebut mereka akan dapat melihat data-data di mana saya bertanding pada 2004, 2008 dan 2022.

“Saya sudah bertanding lima penggal dan mereka dapat melihat bahawa angka tidak pernah berbohong... setiap kali ada PRU (Pilihan Raya Umum), majoriti saya bertambah,” jelasnya.

Wan Rosdy menambah, rekod itu membuktikan kepercayaan dan keyakinan pengundi terhadap khidmatnya sebagai wakil rakyat sepanjang lima penggal tersebut.“Jadi saya tidak faham apa tujuan mereka untuk datang ke Jelai, tetapi saya mengalu-alukan,” katanya.