SEPANG - Lelaki warga India yang ditahan menyeludup lebih 2,500 ekor kura-kura jenis red-eared slider melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini Selasa lalu bekerja sebagai tukang masak restoran dan dipercayai direkrut sebagai keldai penyeludupan.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA, Ibrahim Mohd Yusof berkata, siasatan awal mendapati bagasi dibawa suspek berusia 41 tahun itu disediakan dan diserahkan oleh orang lain.
Katanya, suspek mendakwa tidak mengetahui kandungan yang dibawa.
"Tiket penerbangannya ditanggung oleh pihak ketiga.
"Berdasarkan rekod kemasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), lelaki terbabit memasuki Malaysia pada 29 November 2023 sebagai pekerja asing dan masih mempunyai pas lawatan kerja yang sah hingga 28 November 2025," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Jelasnya, dipercayai kura-kura terbabit dari ladang ternak tempatan yang dijadikan sumber bekalan antarabangsa.
"Negara sumber tidak terhad kepada Malaysia sahaja, merangkumi negara-negara Asia Tenggara lain," ujarnya.
Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga India ditahan ketika cuba menyeludup keluar lebih 2,500 ekor kura-kura bernilai RM348,000 ke negaranya pada Selasa lalu.
Suspek yang dijadualkan menaiki penerbangan ke Bengaluru, India, ditahan pada jam 10.05 malam di Pintu Perlepasan.