LONDON - Kebolehan seekor burung kakak tua yang meniru percakapan manusia berjaya menumpaskan geng dadah yang beroperasi di sebalik tirai besi.
Sindiket terdiri daripada 15 anggota termasuk ketuanya, Adam Garnett, 35, sudah pun didakwa meskipun dua daripadanya mengaku tidak bersalah.
Di bawah pertuduhan hasil siasatan Polis Lancashire, kesemua mereka dihukum penjara yang digabungkan lebih 103 tahun.
Menerusi kenyataan akhbar diberikan pihak berkuasa Lancashire pada Isnin, geng itu beroperasi di Blackpool, England antara Februari 2023 dan Julai 2024.
"Kegiatan mereka terbongkar ketika pemeriksaan sel penjara di mana beberapa telefon bimbit dan penghala Wi-Fi ditemui dalam milikan Garnett," ujar jurucakap polis.
Siasatan lanjut membawa kepada serbuan yang dilakukan ke atas kediaman tiga anggota geng jenayah tersebut.
Ketika operasi itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin, kokain, ketamine dan ganja serta sejumlah wang tunai.
"Beberapa video yang terdapat dalam telefon bimbit salah seorang tertuduh (teman wanita Garnett) juga menunjukkan bagaimana ia mengajar burung kakak tua peliharaannya digelar Mango menyebut 'two for 25' merujuk kepada kod urus niaga dadah sindiket tersebut," jelasnya lagi.
Klip memaparkan gelagat Mango turut dikongsi Polis Blackpool di media sosial dengan kapsyen,'apa perkara paling berbakat haiwan peliharaan anda mampu lakukan? Memahami arahan untuk duduk? Bagaimana jika ia boleh bercakap?' - Agensi