SEKARANG ini Merak Jalanan sedar sedang kecoh satu Malaysia pasal nasi lemak tak cukup sifat.
Cerita dia begini. Ada pelanggan beli nasi lemak dengan lauk tambahan. Contohnya paru, ayam goreng berempah atau sambal kerang. Tapi bila buka bungkus, telur hilang entah ke mana, kacang pun ghaib, timun tak nampak bayang, tinggal sambal dan nasi sahaja.
Bila tanya peniaga, jawabnya mudah: “Dah ambil lauk, telur tak masuk dah.”
Tambahan lauk seperti sambal sotong, ayam goreng berempah, rendang daging, paru goreng kunyit, atau sambal kerang, itu semua kategori upgrade.
Tapi upgrade tak bermaksud downgrade elemen wajib. Macam beli kereta baru, tiba-tiba peniaga cabut stereng sebab kita pilih rim sport. Sedih, kan?
Malah ada yang kata, kalau nasi lemak tak ada telur, kacang, ikan bilis dan timun, itu bukan nasi lemak. Itu nasi lauk sambal.
Sakit hati bila fikir balik, nasi lemak kini dikira ‘modular’, macam beli perabot IKEA. Nak tambah laci, kena beli asing.
Nak telur? Top-up. Nak timun? Tambah RM0.50. Kacang? Eh, itu harga lain.
Begitulah nasib nasi lemak hari ini di mana manakan popular itu jadi bahan kapitalis.
Namun, bukan semua peniaga begitu. Ada juga yang masih jujur, yang pegang amanah nasi lemak seumpama menjaga warisan bangsa. Mereka tahu, sepinggan nasi lemak bukan sekadar makanan tetapi ia lambang kasih sayang, lambang perpaduan dan peneman setia waktu sarapan hari cuti.
Jadi kepada semua peniaga nasi lemak sekalian, Merak Jalanan rayu, janganlah potong telur rebus. Janganlah sisihkan ikan bilis dan timun. Kacang pun jangan tinggalkan.
Kalau nak jual nasi lemak, jujurlah pada nama. Jangan ‘nasi lemak’ di luar, tapi ‘nasi pelik’ di dalam.