BANGSAR – Pengguna perkhidmatan di bawah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dinasihatkan agar sentiasa mengoptimumkan penggunaan air susulan pelarasan tarif yang akan berkuat kuasa mulai 1 September depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga disaran agar memeriksa paip air di rumah masing-masing secara berkala sekiranya terdapat kebocoran yang boleh menyebabkan bil air melambung tinggi.
Menurut beliau, sikap pengguna sendiri memainkan peranan penting dalam usaha menjimatkan penggunaan air di kediaman.
Justeru, katanya, langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Air Selangor dalam menyampaikan mesej mengenai kepentingan menggunakan air secara berhemah.
“Kadang-kadang, kita bukan guna air terlalu banyak. Bayangkan empat penghuni dalam satu rumah guna air sampai satu meter padu (1,000 liter) sehari, mustahil!
“Rupa-rupanya, paip air rumah kita yang bocor. Itu yang menyebabkan bil bulanan melambung tinggi, tapi segelintir pengguna bayar sahaja kerana beranggapan kos pembaikan paip lebih mahal.
“Kalau mereka ambil kira perancangan jangka panjang dan lakukan penjimatan dengan membaiki paip terlebih dahulu, tidak mustahil bil Air Selangor jadi lebih rendah daripada kebiasaan,” katanya dalam satu sidang akhbar tertutup bersama tiga agensi media di ibu pejabat Air Selangor di sini pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa pengguna domestik di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menggunakan air antara 20 hingga 35 m³ sebulan akan dikenakan kadar baharu iaitu RM1.62 setiap m³.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa pelarasan ini merupakan sebahagian daripada penyelarasan tarif air yang diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, selepas mengambil kira keperluan untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan air terawat kepada rakyat serta sektor industri.
Menurutnya, pelarasan itu diketuai oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan dilaksanakan oleh Air Selangor, melibatkan lebih 2.77 juta akaun pengguna merangkumi kategori domestik dan komersial.
Jelasnya lagi, bagi pengguna yang menggunakan air melebihi 35 m³ sebulan, kadar baharu adalah sebanyak RM3.51 per m³, meningkat sebanyak RM0.88 berbanding kadar sebelumnya.
Ketika diminta mengulas mengenai justifikasi pelarasan tarif, Adam Saffian mengakui bahawa ia bukan keputusan yang mudah, namun perlu dilaksanakan demi manfaat jangka panjang kepada pengguna.
Tambah beliau, pelarasan ini akan membolehkan pihaknya menambah baik operasi pengurusan dan perkhidmatan, serta melakukan pelaburan berterusan bagi memastikan kelangsungan bekalan air untuk kesejahteraan 9.62 juta pengguna.
Katanya lagi, pelarasan tarif juga menyokong usaha Air Selangor dalam menjamin keterjaminan bekalan air, meningkatkan kualiti air terawat serta mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW).
“Kami sedang berusaha meningkatkan rizab margin air kepada 20 peratus menjelang 2030, selain menyelesaikan isu paip bocor melalui program penggantian paip lama kepada 300 kilometer (km) setahun mulai 2024, dan seterusnya 400 km setahun bermula 2034.
“Air Selangor juga membuat pelaburan berterusan dalam pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu seperti LRA Bestari Jaya berkapasiti 900 juta liter sehari (JLH) serta menaik taraf aset kritikal seperti LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Labu, LRA Sungai Semenyih dan Tangki Imbangan Matang Pagar,” katanya.
Jelas beliau, walaupun bekalan air ketika ini masih mencukupi, permintaan semakin meningkat di Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pertambahan penduduk serta aktiviti ekonomi yang semakin berkembang.
“Ini menyebabkan permintaan air meningkat, belum lagi termasuk jika ada program ekonomi baharu,” ujarnya.