SHAH ALAM - Keputusan pengesahan cerai sama ada jatuh talak dua atau tiga ketika siaran langsung TikTok membabitkan pempengaruh, Siti Jamumall dan suaminya, Khairul Aiman Abdul Kudus akan diputuskan Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 22 September depan.
Hakim Syarie, Fairus Jaafar menetapkan tarikh itu selepas mendengar keterangan daripada Khairul Aiman, 22, atau lebih dikenali sebagai 'Aiman Tak Kesah' selaku plaintif dan Siti sebagai defendan.
Mahkamah turut memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 29 Ogos ini.
Semasa ditemui di luar mahkamah, peguam syarie, Mohd Nooraizan Md Idros yang mewakili plaintif berkata, mahkamah akan membuat keputusan pengesahan berhubung lafaz cerai yang dibuat dalam aplikasi media sosial pada 15 Mei lalu.
"Semasa perbicaraan, anak guam dan isterinya telah memberi keterangan namun mahkamah menetapkan tarikh lain untuk keputusan.
"Sama ada jatuh talak kedua atau ketiga selain mereka mahu rujuk atau sebaliknya, hanya akan diketahui selepas mahkamah memberikan keputusan berkenaan kelak," kata peguam syarie.
Beliau berkata, selepas pengesahan kes barulah Khairul Aiman akan berbincang tindakan susulan bersama defendan.
Jika jatuh talak dua mengikut tarikh lafaz pada tiga bulan lalu, beliau berkata, ia telah pun melepasi tempoh masa untuk rujuk kembali.
Justeru katanya, kedua-dua pasangan masih boleh melangsungkan perkahwinan yang baharu kecuali dijatuhkan talak tiga.
Sementara itu, peguam syarie, Mohd Zaid Abdul Aziz berkata, anak guamnya Siti atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 26, telah dikecualikan kehadiran pada tarikh keputusan kelak kerana dijangka bersalin pada awal bulan depan.
Menurutnya, sebelum ini mahkamah menetapkan Khamis untuk perbicaraan penuh kerana mengambil kira keadaan defendan yang sarat mengandung lapan bulan.
Katanya, semasa prosiding rakaman yang tular dengan disaksikan ribuan pelayar TikTok, telah dimainkan di hadapan hakim syarie.
"Selepas diteliti, rupanya ada tiga pengulangan lafaz talak dua, dalam tempoh masa satu minit dibuat plaintif terhadap anak guam.
"Persoalan yang timbul ialah, pada malam itu sama ada plaintif membuat dua lafaz atau lafaz kali kedua," katanya.
Pada 15 Mei lalu, pasangan itu dikatakan telah berpisah buat kali kedua yang mana lafaz cerai diucap dalam siaran langsung menerusi di TikTok atas akaun @Sitijamumall.
Menerusi perkongsian semula di TikTok @Aiyang.co, Khairul Aiman melafazkan cerai dan diulang sebanyak tiga kali sebelum siaran tersebut dihentikan secara mengejut.
Lelaki berkenaan berkara,"Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. See you in court".
Bagaimanapun, mereka kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.
Pasangan itu juga telah bercerai untuk kali pertama pada 17 Mac di luar mahkamah.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 Jun tahun lalu di Satun, Thailand.
Ini merupakan perkahwinan kedua Siti yang sebelum ini pernah berkahwin selama empat tahun dan dikurniakan dua anak lelaki, Putra Adam Rizki, berusia lima tahun dan Putra Aiman Zafran, tiga tahun.