Syarikat bumiputera pacu revolusi EV negara

Iklan
Zulfaqar tidak pernah jemu memberikan bimbingan kepada tenaga muda dalam kalangan bumiputera untuk menerokai bidang baharu.

CYBERJAYA- Komitmen Malaysia untuk membangunkan ekonomi yang inklusif dan mampan kini diterjemahkan melalui langkah langkah konkrit di bawah inisiatif Raise the Floor, sebahagian daripada Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).

Menerusi inisiatif itu, tumpuan diberikan kepada memperkasa komuniti dan perniagaan bumiputera agar dapat bersaing dalam sektor-sektor bernilai tinggi, termasuk teknologi hijau dan mobiliti masa depan.

Iklan
Iklan

Sebagai peneraju infrastruktur utama dan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), UEM Group Berhad (UEM Group) menyokong usaha itu antara lain menerusi sayap industri hijaunya, UEM Lestra Berhad (UEM Lestra).

Antara langkah signifikan terbaharu ialah pengambilalihan 49 peratus pegangan ekuiti oleh UEM Lestra dalam Roda Emas Industries Sdn Bhd (REISB), sebuah syarikat milik penuh bumiputera yang semakin dikenali sebagai pemain utama dalam pembangunan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Iklan

Langkah strategik itu bertujuan untuk memperkukuh keupayaan REISB dalam memacu pertumbuhan syarikat bumiputera berpotensi tinggi sekali gus menyokong aspirasi nasional dalam membangunkan ekosistem hijau yang mampan serta didominasi oleh bakat tempatan.

Selain itu, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), usaha penyahkarbonan perkhidmatan pengendalian darat akan dipertingkatkan, termasuk menyediakan lebih banyak stesen pengecasan kenderaan elektrik dan panel fotovolta bagi menjana TBB serta mewujudkan lebih banyak landskap hijau.

Iklan

Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin berkata, UEM Group komited untuk terus melakar lanskap infrastruktur termasuklah dalam pembinaan ekosistem hijau yang menyeluruh.

AMRAN HAFIZ

“Membangunkan syarikat seperti REISB bukan sahaja memperkasa usahawan bumiputera, tetapi turut membantu Malaysia menjadi peneraju serantau dalam sektor EV dan teknologi hijau,” kata Amran Hafiz.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan REISB, Zulfaqar Mohd Zain berkata, REISB yang merupakan anak syarikat UEM Lestra, telah beroperasi sepenuhnya sejak 2018 kini meletakkan sasaran lebih tinggi dalam sektor tenaga boleh diperbaharui apabila mengorak langkah ke arah projek berskala besar.

“Penglibatan UEM Lestra bukan sahaja memperkukuh kedudukan kewangan dan tadbir urus dalaman syarikat, malah turut membuka jalan kepada pelak sanaan projek tenaga hijau pada berskala nasional.

“Bersama UEM Lestra, kami mula menyusun semula struktur operasi, pentadbiran, perakaunan dan pelaporan. Kami juga sedang membangunkan pelan pembangunan lima tahun yang jelas, lengkap dengan bajet dan strategi pelaksanaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Cyberjaya, baru-baru ini.

Menurut beliau, walaupun hubungan dengan UEM Lestra masih baharu namun ia telah membuka ruang untuk REISB menjalinkan kerjasama dengan pemain industri utama yang mengendalikan loji solar berskala besar serta sistem solar komersial.

“UEM Lestra telah memperkenalkan kami kepada syarikat syarikat yang mempunyai pengalaman mendalam dalam tenaga boleh diperbaharui. REISB banyak belajar secara langsung daripada mereka,” ujarnya.

Zulfaqar berkata, sebelum ini syarikatnya telahpun terlibat dalam pelaksanaan projek tenaga seperti pemasangan dan pendawaian sistem untuk stesen janakuasa hibrid solar TNB di Aring, Kelantan dan Tanjung Tuan, Johor menjadikan mereka tidak asing dalam kerja lapangan.

“Kami bukan baru dalam industri ini. Selama ini kami lebih kepada projek berskala sederhana tetapi selepas dibimbing UEM Lestra, kami bersedia untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Dalam masa sama, REISB turut membekal dan memasang sistem solar kediaman yang diintegrasikan denganpengecas EV, melalui kerjasama dengan Sime Darby Motor.

Lebih 100 unit sistem itu telah dipasang kepada pengguna EV di seluruh negara.

“Pengguna EV seperti Hyundai dan Jaguar boleh dapatkan sistem solar dan pengecas rumah dalam satu pakej. Kami telah pasang lebih 100 unit di seluruh negara,” katanya.

Sistem itu turut merangkumi integrasi dengan Net Energy Metering (NEM) bagi membolehkan pengguna menjual balik lebihan tenaga kepada grid nasional.

“Kami bukan sekadar pasang panel. Kami pastikan keseluruhan sistem dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna,” jelas Zulfaqar.

Selain pengguna individu, REISB juga berperanan dalam membina rangkaian pengecas pantas (DC) bagi Malaysia Green Technology Corporation (MGTC) BMW Malaysia dan TNB Electron.

Mereka juga merupakan antara syarikat bumiputera terawal yang berkecimpung dalam bidang ini.

Malah, sistem backend untuk aplikasi TNB Electron dibangunkan oleh pasukan syarikat sendiri bersama rakan strategik dari Amerika Syarikat, Go To-U Inc.

“Kami urus operasi sepenuhnya. Jadi kalau anda caj EV di TNB Electron sistemnya diselenggara oleh anak muda kita sendiri,” katanya.

Walaupun teknologi merupakan teras kepada perniagaan, bagi REISB, Zulfaqar berkata, kejayaan sebenar bergantung kepada pembangunan sumber manusia.

“Kami percaya tenaga kerja adalah aset paling berharga. Kami latih anak muda dari bawah. Akauntan kami pun tahu baiki pengecas EV kerana kami ajar mereka faham ekosistem perniagaan ini,” katanya.

Sebahagian besar tenaga kerja REISB adalah dalam lingkungan umur 24 hingga 33 tahun, termasuk graduan baharu yang diberikan peluang untuk belajar terus dari lapangan. “Ramai graduan kita tercicir bukan sebab tak pandai, tapi sebab tiada platform. Kami beri mereka peluang itu,” ujar Zulfaqar.

Atas keupayaan teknikal dan pengalaman industri, REISB turut dilantik oleh MGTC untuk membangunkan modul latihan pemasangan pengecas EV di Malaysia.

Ia merupakan langkah penting ke arah standard dan pensijilan bidang tersebut.

“Dahulu tiada piawaian sekarang ada garis panduan dari Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Perumahan dan Kerajaaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan sebagainya.

“Kami bantu membina modul rasmi supaya semua pemasang ikut standard yang sama,” jelasnya.

Kerjasama dan perancangan menyeluruh

Mengulas sasaran kerajaan untuk menyediakan 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025, Zulfaqar menegaskan bahawa kerjasama antara sektor swasta dan agensi kerajaan amat penting bagi merealisasikannya.

“Sekarang baru ada sekitar 3,000 pengecas. Kita boleh capai 10,000 tetapi ia perlukan kerjasama dan perancangan menyeluruh iaitu lokasi strategik, kapasiti tenaga serta akses modal,” katanya.

Menurut beliau, cabaran utama bukan sekadar teknologi, tetapi akses kepada peluang dan rangka kerja yang teratur.

“Inilah yang kami dapat melalui UEM Lestra, bukan hanya pelaburan tetapi peluang untuk terlibat dalam projek berskala besar yang sebelum ini sukar dicapai syarikat kecil,” katanya.

Zulfaqar percaya bahawa masa depan industri tenaga negara terletak pada gabungan teknologi dan keupayaan manusia yang seimbang.

HARMAN FAIZ

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad menyifatkan REISB merupakan contoh perniagaan bumiputera inovatif yang menggabungkan teknologi, kelestarian dan daya tahan.

“Melalui pelaburan strategik ini, kami bukan sahaja membangunkan jaguh hijau tempatan, malah memacu peralihan Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau dan pintar dengan peneraju industri bumiputera berada di hadapan,” jelasnya.