Konten nasi tulang ayam: Kesedaran atau kejar 'like'?

Iklan
Tamgkap layar video yang tular yang memaparkan tiga remaja dipercayai pempengaruh menikmati hidangan ayam goreng sebelum meletakkan tulang dalam bungkusan nasi dan memberikannya kepada seorang gelandangan.

TINDAKAN tiga remaja memberikan nasi mengandungi sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan yang didakwa sebagai eksperimen sosial bukan sahaja biadab, malah memperlihatkan hilangnya nilai perikemanusiaan dalam mengejar tontonan dan perhatian di media sosial.

Walaupun pencipta kandungan terbabit memberi alasan bahawa tindakan mereka bertujuan mendidik masyarakat dan membuat eksperimen, namun niat tersebut jelas tidak menghalalkan cara.

Iklan
Iklan

Lebih dikesali, ‘eksperimen sosial’ dijadikan alasan untuk menghasilkan kandungan sedemikian yang bukan sahaja menjijikkan, bahkan mempermainkan nasib golongan kurang bernasib baik.

Dalam klip video tular berkenaan, lelaki gelandangan itu kelihatan terkejut apabila membuka bungkusan nasi bersama tulang ayam, namun tetap mengucapkan terima kasih kepada pemberi.

Iklan

Insiden tersebut jelas mengundang kemarahan masyarakat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung yang turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat serta mengambil tindakan terhadap pihak terlibat.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar sama sekali menjadikan penderitaan golongan terpinggir sebagai bahan hiburan atas nama ‘kebajikan’.

Iklan

Tidak salah menghasilkan kandungan kreatif, namun ia mesti seiring dengan etika dan empati terhadap manusia lain, lebih-lebih lagi apabila membabitkan kelompok yang tidak berupaya membela diri seperti gelandangan.

Salah seorang pencipta kandungan terbabit memberi justifikasi bahawa video melibatkan gelandangan dimuat naik itu telah disalah tafsir dan ia hanya eksperimen sosial dengan kerjasama gelandangan itu sendiri.

Remaja terbabit turut menjelaskan bahawa mereka telah memberikan set lengkap nasi dan dua ketul ayam untuk gelandangan, namun alasan diberikan masih tidak dapat diterima masyarakat.

Walaupun ia didakwa sekadar konten namun tindakan menyajikan tulang ayam kepada manusia tidak kira status mereka mencerminkan tahap penghinaan yang tidak boleh diterima dalam masyarakat bertamadun hari ini.

Gelandangan bukan subjek ujian, mereka juga manusia yang berhak dilayan dengan maruah dan hormat.

Sekalipun dakwaan pelaku bahawa kandungan itu ‘bermesej’ dan mempunyai tujuan untuk mendidik, namun penyampaiannya jelas tidak sesuai, memalukan dan tidak beretika.

Justeru, semua pencipta kandungan perlu menjadikan insiden itu sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati dalam menghasilkan bahan media sosial.