Angka korban di Gaza akibat serangan Israel melebihi 61,000 orang

Iklan
UNICEF memberi amaran bahawa kanak-kanak di Gaza sedang mati pada kadar "yang tidak pernah berlaku sebelum ini” susulan kebuluran dan keadaan yang semakin merosot akibat perang berterusan. Gambar hiasan

ISTANBUL - Sekurang-kurangnya 61,020 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan genosid oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, termasuk 188 kematian akibat kebuluran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 87 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 644 lagi cedera, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang cedera akibat serangan Israel meningkat kepada 150,671 orang.

Iklan
Iklan

Kementerian turut melaporkan lapan lagi kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh sama, menjadikan angka korban akibat kebuluran sejak Oktober 2023 meningkat kepada 188 orang — termasuk 94 kanak-kanak.

Selain itu, seramai 52 rakyat Palestin terbunuh dan 352 lagi cedera ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban ketika mendapatkan bantuan meningkat kepada 1,568 orang, dengan lebih 11,230 yang lain cedera sejak 27 Mei.

Iklan

Pada Jumaat, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa kanak-kanak di Gaza sedang mati pada kadar"yang tidak pernah berlaku sebelum ini” susulan kebuluran dan keadaan yang semakin merosot akibat perang berterusan.

Menurut anggaran Program Makanan Sedunia (WFP), satu daripada setiap empat rakyat Palestin di Gaza kini berdepan keadaan seperti kebuluran, manakala 100,000 wanita dan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut.

Iklan

Tentera Israel menyambung semula serangannya ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac lalu dan sejak itu telah membunuh 9,519 orang serta mencederakan 38,630 yang lain — sekali gus menggagalkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang mula berkuat kuasa pada Januari. - Bernama-Anadolu