SHAH ALAM - Nestlé Malaysia terus mempergiat usaha meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap kepentingan pemakanan seimbang dan nutrisi sihat menerusi Program Nestlé Home of Good Nutrition Day @ Karangkraf.
Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Nestlé Malaysia, Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi berkata, program tersebut diadakan sebagai usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap nutrisi terkandung dalam produk Nestlé seperti Milo, Maggi, Everyday, Nestlé Omega Plus dan Nestlé Omega Gold.
Beliau berkata, antara matlamat utama program itu adalah untuk memperbetulkan persepsi yang tidak tepat terhadap produk mereka seperti Milo yang sering dikaitkan dengan kandungan gula tinggi.
“Milo mengandungi gula kurang daripada satu sudu kecil bagi setiap hidangan, malah produk terbabit juga mengandungi susu, koko serta vitamin penting.
"Selain itu, produk Milo disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai produk pilihan lebih sihat," katanya ketika ditemui selepas Program Nestlé Home of Good Nutrition Day @ Karangkraf di Dewan Karangkraf di sini pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan Ketua Komunikasi Korporat Nestlé Malaysia, Shaheen Zaffar.
Raja Nurmaria Murni memberitahu, Nestlé juga mengambil peranan penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif menerusi amalan pemakanan seimbang.
“Kami mahu mendorong pengguna mengamalkan konsep ‘pinggan suku-suku separuh’. Selain itu, jika makan Maggi, tambahlah protein seperti ayam atau ikan dan sayur-sayuran,” ujarnya lagi.
Menurutnya, rasa produk Nestlé seperti Milo dan Maggi yang ikonik juga menjadi kekuatan utama syarikat, sekali gus sinonim dengan pengguna tempatan.
Bagaimanapun, kongsi beliau, syarikat makanan dan minuman terbabit terus menitik berat aspek kualiti dan keselamatan makanan untuk menghasilkan produk sihat, berkualiti tinggi dan halal untuk rakyat Malaysia.
Raja Nurmaria Murni turut menyentuh inovasi Nestlé yang sentiasa menyesuaikan diri dengan trend semasa termasuk siri Air Fryer seperti Pes Perapan Maggi Air Fryer Sate.
Dalam pada itu, ujarnya, Nestlé memperkenalkan laman sesawang dinamakan Nestlé Home of Good dalam menyediakan panduan pemakanan seimbang, maklumat nutrisi produk dan promosi khas untuk pelanggan mereka.
Menurut beliau, pihak mereka juga sentiasa peka terhadap keperluan nutrisi rakyat tempatan dan merancang pembangunan produk berasaskan informasi kesihatan dan trend terkini.
“Kami mahu mempromosikan kesihatan awam dan menyediakan produk berasaskan nutrien mikro yang penting untuk rakyat Malaysia,” kata Raja Nurmaria Murni lagi.
Terdahulu, lebih 300 pengunjung terdiri daripada kakitangan Karangkraf hadir dan menyertai pelbagai aktiviti termasuk saringan kesihatan percuma dan permainan di beberapa reruai Nestlé.
Aktiviti menarik lain termasuklah demo masakan dan panduan permakanan sihat; permainan digital serta kuiz permakanan sihat dengan tawaran baucar RM10 untuk Touch 'n Go ataupun Shopee.