KUALA LUMPUR – Calon Tokoh Rumah Ngaji menyifatkan penganjuran Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia yang julung kali diadakan tahun ini sebagai medan penting untuk menyatukan penggerak serta memperkukuh semangat dakwah al-Quran di seluruh negara.
Normawati Mohd Salleh, 63, dari Rumah Ngaji Haji Sidek, Seremban, Negeri Sembilan berkata, konvensyen ini amat bermakna dan membuka mata semua penggerak terhadap potensi besar gerakan tersebut.
“Isi kandungan program ini sangat memberi kesan kerana ia membuatkan kita teruja untuk tunggu hingga ke akhir, sebab banyak input yang berguna,” katanya.
Menurut Normawati, Rumah Ngaji Haji Sidek yang ditubuhkan sejak 2017 bergerak seiring dengan program Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) seperti Malaysia #QuranHour dan World #QuranHour.
Lebih membanggakan, rumah ngaji tersebut telah berjaya melahirkan 47 asatizah yang kini mengajar mengikut peringkat kelayakan masing-masing.
“Dulu kita sekadar membaca tapi sekarang kita baca, faham, tadabbur dan amal.
“Itulah yang membezakan gerakan ini kerana apabila kita sudah faham dan menghayati, barulah timbul rasa untuk sebarkan kepada orang lain,” katanya ketika ditemui semasa konvensyen tersebut.
Beliau memaklumkan Rumah Ngaji Haji Sidek beroperasi di rumah wakaf milik sahabat Allahyarham Haji Sidek dan digerakkan secara sukarela oleh komuniti setempat.
Sementara itu, calon tokoh dari Ipoh, Perak, Aazenin Mohd Abas, 70, berkongsi bagaimana beliau mula menggerakkan Rumah Ngaji sejak 2014 bersama dua rakan, walaupun ketika itu ramai belum memahami hala tuju gerakan tersebut.
“Saya harap konvensyen ini dapat memberi kefahaman lebih mendalam kepada penggerak. Ramai yang hadir tetapi masih belum jelas tentang perjalanan sebenar Rumah Ngaji,” katanya.
Pesara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu berkata, beliau menyusun gerak kerja Rumah Ngaji secara sistematik, bermula dalam kalangan keluarga dan kenalan rapat.
Aazenin turut menjadikan pendekatan dakwah Rasulullah SAW sebagai model, iaitu bermula dari ahli keluarga terdekat kemudian berkembang kepada masyarakat sekeliling.
“Sekarang gerakan semakin berkembang kerana ramai yang sudah faham pendekatan tadabbur. Bukan sekadar membaca tetapi kita hendak hidupkan pemahaman dan amalan al-Quran dalam kehidupan,” tambahnya.