KUALA LUMPUR – Penganjuran Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia buat julung kali selepas 13 tahun gerakan itu diperkenalkan disifatkan sebagai langkah tepat dan bermakna dalam memperkasa usaha penyebaran al-Quran secara akar umbi di seluruh negara.
Penasihat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Mohd Nordin berkata, konvensyen ini bukan sekadar satu himpunan simbolik, malah menjadi medan muhasabah dan motivasi untuk menilai sejauh mana keberkesanan gerakan Rumah Ngaji yang telah berjalan sekian lama.
“Saya teruja dengan penganjuran konvensyen ini kerana ia memberi peluang untuk kita menilai dan melihat kembali sejauh mana program ini benar-benar memberi impak kepada masyarakat, serta bagaimana kita boleh menambah nilai dalam pendekatan lebih berkesan, termasuk menyasarkan golongan remaja,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia 1.0 di Masjid Wilayah Persekutuan, Selasa.
Menurut beliau, melalui konvensyen ini juga, operator atau pengusaha Rumah Ngaji dapat menyampaikan maklum balas secara langsung kepada pihak penganjur dan yayasan, sekali gus membantu memperkukuh hala tuju serta meningkatkan keyakinan agar program itu terus berlangsung secara mampan.
“Pengusaha Rumah Ngaji akan rasa dihargai dan ini akan menyuntik semangat baharu kepada mereka untuk terus melangkah ke tahap lebih tinggi. Mereka juga akan rasa disokong dan tidak bersendirian dalam perjuangan ini,” katanya.
Mengulas mengenai manfaat konvensyen itu kepada umat Islam secara keseluruhan, Mohd Nordin berkata, pendedahan media dan publisiti meluas mampu mengetuk hati masyarakat untuk kembali kepada al-Quran dan menghayati isinya.
“Kesedaran tentang al-Quran hadir dalam pelbagai peringkat – ada yang sudah biasa, ada yang baru bermula – tetapi melalui penganjuran seperti ini, ia mampu membuka hati ramai orang untuk kembali belajar dan mencintai al-Quran,” ujarnya.
Beliau turut menyarankan agar konvensyen seperti ini diteruskan secara berkala, selain memperluas capaian digital melalui media sosial untuk menarik lebih ramai golongan muda.
“Saya ucapkan terima kasih kepada WUIF atas penganjuran ini dan berharap ia dapat diperluas lagi.
“Rumah Ngaji yang terbaik boleh dijadikan contoh kepada yang lain, manakala tokoh-tokoh al-Quran yang menerima anugerah boleh diangkat sebagai ikon inspirasi untuk membakar semangat peserta lain pula,” katanya lagi.